MPOB F1

Baja Sawit Terbaik

  • Laman Utama
  • Pengenalan
  • Proses Pemadatan
  • MPOB F1
  • MPOB F1 Xtra K
  • Hubung Kami
  • Berita
  • [English]

Baja Sawit MPOB F1 dinaik taraf dengan Baja Fosfat Bayovar

Oil palm tree with many fresh fruit bunches

Union Harvest telah meningkatkan kualiti baja sawit MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K dengan menggunakan baja Bayovar Rock Phosphate sebagai sumber fosfat.

Penyelidikan baja sepanjang tempoh 5 tahun telah menunjukkan bahawa penggunaan baja batuan fosfat yang sangat reaktif seperti Bayovar Rock Phosphate boleh meningkatkan hasil sawit sebanyak 11% jika dibandingkan dengan menggunakan baja batuan fosfat sederhana reaktif.

Satu lagi penyelidikan oleh FGV juga membandingkan keberkesanan baja batuan fosfat reaktif yang tinggi terhadap baja batuan fosfat reaktif yang rendah di telapak pokok sawit muda.

Syarikat perladangan yang besar seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd, Boustead Plantations, IOI Plantations, Genting Plantations, KULIM Plantations, TSH Plantations, TDM Plantations, Felda dan lain-lain lagi telah menggunakan baja fosfat Bayovar di ladang sawit mereka untuk meningkatkan hasil.

high reactive rock phosphate fertilizer pouring into an open palm

Baja Fosfat Yang Sangat Reaktif

Baja sebatian MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K adalah satu-satunya di Asia yang mempunyai baja batuan fosfat Bayovar sebagai sumber fosfat. Selain itu, baja sawit MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K terdapat juga baja fosfat larut dalam air yang menyediakan nutrien P segera untuk meningkatkan pengambilan nutrien N dan K ke pokok sawit.

Dengan menggunakan kedua-dua baja batuan fosfat Bayovar dan baja fosfat larut dalam air sebagai bahan mentah dalam baja sebatian MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K, kami ingin membantu para pelanggan kami meningkatkan buah berat tandan dan mencapai hasil yang lebih tinggi dan konsisten.

 

Filed Under: Berita, Maklumat Tagged With: baja sawit, Bayovar

Bahan Tanaman Berkualiti

Dari segi taksonomi, sawit adalah dari keluarga Palmae, suku Cocoseae dan genus Elaeis.  Terdapat dua spesies sawit iaitu Elaeis guineensis yang berasal dari Afrika dan Elaeis olefera yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.  Spesies sawit yang selalu digunakan sebagai tanaman komersial ialah Elaies guineensis kerana ia memberikan hasil buah tandan segar (BTS) dan nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi berbanding Elaeis olefera (Rajah 1 – 4).

Pokok Sawit Elaeis Guineesis

Rajah 1: Pokok sawit Elaeis guineensis

Buah tandan segar Elaeis Guineensis

Rajah 2: Buah tandan segar Elaeis guineensis

Bahan tanaman berkualiti merupakan faktor penting menentukan hasil sawit.  Menanam anak benih berkualiti serta mempraktikkan pengurusan dan amalan agronomi yang baik akan menghasilkan pokok sawit yang dapat mengeluarkan hasil BTS yang tinggi.  Sebalik-nya, penggunaan bahan tanaman yang berkualiti rendah akan menghasilkan pokok sawit yang memberi hasil BTS yang rendah.

Pokok sawit Elaeis Oleifera

Rajah 3: Pokok sawit Elaeis oleifera

Pemilihan bahan tanaman berkualiti adalah kritikal dalam industri sawit yang mempunyai jangka hayat ekonomi dalalm linkungan 25 tahun.  Penanam akan mengalami kerugian kerana hasil rendah sepanjang hayat tanaman sekiranya mengambil ringan faktor kualiti dalam penghasilan dan pemilihan bahan tanaman sawit.

Buah tandan segar Elaeis Oleifera

Rajah 4: Buah tandan segar Elaeis oleifera

Genetik Pengeluaran Biji Benih DxP

Tanaman sawit adalah contoh terbaik di mana kemajuan pemilihan tercapai melalui satu gen.  Gen (Sh) tersebut mengawal kehadiran tempurung pada buah.  Homozigo dominan (Sh+Sh+) menghasilkan dura (D) bertempurung tebal.  Homozigot resesif (Sh-Sh-) pula menghasilkan pisifera (P) tanpa tempurung.  Heterozigot (Sh+Sh-) menghasilkan tenera bertempurung nipis.  Bahan tanaman komersial yang kerap digunakan ialah jenis tenera atau lebih dikenali sebagai DxP kerana memberikan hasil BTS dan nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi.  Tenera terhasil dari kacukan antara dura dan pisifera (Rajah 5).

Purata Komposisi Buah Dura dan Tenera

Secara amnya, dura dan tenera tiada perbezaan pada nisbah buah ke tandan, isirung ke buah dan minyak ke mesokarpa basah (Jadual 1).  Walau bagaimanapun, tenera lebih unggul kerana mempunyai nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi.  Ini kerana pada tenera, mesokarpa ke buah adalah lebih tinggi sementara tempurung ke buah pula lebih rendah.

Kacukan DxP

Rajah 5: Kacukan DxP

Jadual 1. Purata Komposisi Buah Dura Dan Tenera

Ciri Dura (%) Tenera (%)
Buah ke tandan 60 60
Mesokarpa ke buah 60 80
Tempurung ke buah 30 10
Isirung ke buah 10 10
Minyak ke mesokarpa basah 50 50
Minyak ke tandan 18 24

Nota: Berdasarkan peratus berat basah

Pengeluar Biji Benih Berlesen di Malaysia

Sehingga Januari 2013, terdapat sebanyak 21 pengeluar biji benih sawit yang berlesen di Malaysia (Jadual 2).  Bagi memelihara kualiti bahan tanaman, agensi pengeluar biji benih komersial adalah tertakluk kepada Piawai Malaysia (MS157) iaitu spesifikasi untuk biji benih bagi tujuan tanaman komersial.  Sehingga kini, spesifikasi tersebut telah dikemaskini sebanyak tiga kali.

  • MS157: 1975
  • MS157: 1998 (Kemaskini pertama)
  • MS157: 1997 (Kemaskini kedua)
  • MS157: 2005 (Kemaskini ketiga)

Jadual 2. Pengeluar Biji Benih Sawit Berlesen Di Malaysia

Nama Pengeluar Tempat
Applied Agricultural Resources Sdn Bhd Tawau, Sabah
Borneo Samudera Sdn Bhd Tawau, Sabah
EPA Management Sdn Bhd Kota Tinggi, Johor
FELCRA Plantation Services Sdn Bhd Kluang, Johor
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Johor Bahru, Johor
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Jerantut, Pahang
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Lahad Datu, Sabah
IJM Plantations Bhd Labuk/Sugut, Sabah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia Kluang, Johor
Nalfin Planting Material Sdn Bhd Hilir Perak, Perak
Pamol Plantations Sdn Bhd Kluang, Johor
Pamol Estates (Sabah) Sdn Bhd Labuk/Sugut, Sabah
Pertubuhan Peladang Negeri Johor Kluang, Johor
RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd Dungun, Terengganu
Sarawak Plantation Agriculture Sdn Bhd Miri, Sarawak
Sasaran Ehsan Utama Sdn Bhd Segamat, Johor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Kluang, Johor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Kuala Langat, Selangor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Tawau, Sabah
United Plantations Berhad Hilir Perak, Perak

Sumber Bahan Tanaman Yang Berkualiti

Pengeluaran anak benih sawit berkualiti ditentukan oleh dua faktor utama.  Faktor pertama adalah penggunaan biji benih terpilih DxP yang diperoleh daripada pengeluar yang berlesen dengan MPOB.  Lazimnya potensi hasil adalah tinggi.  Piawai Malaysia (MS157) yang dikeluarkan oleh Jabatan Piawai Malaysia digunakan dalam menentukan pemilihan induk untuk penghasilan biji benih DxP.  Ini bertujuan bagi memastikan agensi pengeluar biji benih di Malaysia menghasilkan bahan tanaman yang berkualiti.  Piawai terkini dikeluarkan pada 2005 dan dikenali sebagai MS157: 2005.

Pengusaha ladang dan juga pekebun kecil perlu mendapatkan anak benih dari pengusaha tapak semaian yang menggunakan sumber bahan tanaman dari pengeluar biji benih yang sah.  Mereka tidak digalakkan membeli dari sumber yang diragui walaupun harga yang ditawarkan mungkin lebih murah daripada harga pasaran.  Anak benih yang tumbuh di bawah pokok juga tidak boleh digunakan sebagai bahan tanaman.

Jenis penanaman anak benih yang tumbuh di bawah pokok

Rajah 6: Jenis tanaman yang terhasil dari penanaman anak benih yang tumbuh di bawah pokok.

Sekiranya ia dilakukan, terdapat kebarangkalian bahawa bahan tanaman yang terhasil terdiri daripada campuran dura, tenera dan pisifera.  Justeru, akan memberi hasil BTS dan minyak ke tandan yang rendah secara keseluruhannya.  Perkara ini terjadi kerana biji benih di bawah pokok tersebut mungkin terhasil dari kacukan antara satu pokok tenera dengan pokok tenera yang lain di ladang tersebut (Rajah 6).  Pengusaha ladang yang berkenaan akan mengalami kerugian sepanjang jangka hayat ekomoni tanaman sawit iaitu lebih kurang selama 25 tahun.

 

Sumbangan: Dr. Mohd Din Amiruddin

Dari: Warta Sawit, Bil 54(2) / Mei-Ogos 2013, muka surat 4-5, 27.

Filed Under: Berita, Maklumat

Peladang Jaya Negeri Sabah merekodkan 37.5 tan/ha

Lai Siang Ann peladang jaya

Rajah 1: En. Lai Siang Ann

Peladang Jaya kali ini menampilkan En. Lai Siang Ann, 55 tahun dari Kg. Sapang, Kunak, Sabah.  Beliau merupakan pemenang Anugerah Industri Sawit bagi kategori Peladang Jaya Negeri Sabah pada 2012 dan merupakan Ahli Kelab 30 Tan MPOB.  Tahun 2011 merekodkan pencapaian tertinggi buah tandan segar (BTS) yang pernah diperoleh beliau iaitu sebanyak 37.50 t/ha/tahun atau RM237,425.00.

Beliau mula mengusahakan penanaman sawit pada 1996.  Bahan tanaman yang digunakan adalah DXP yang diperoleh daripada Jabatan Pertanian Sabah.  Beliau mengamalkan sistem tanaman segi tiga sama dengan ukuran 9m X 9m X 9m dengan kepadatan sebanyak 136 pokok/ha.  Kini keluasan tanaman sawit di kebun beliau seluas 9.72 ha.  Dalam usaha untuk memastikan pokok sawit yang ditanam hidup subur dan mempunyai hasil BTS yang tinggi, beliau menggunakan baja MPOB F1 dengan kadar 6 kg/pokok/tahun, MgO 3 kg/pokok/tahun, HI KAY 6 kg/pokok/tahun, Boron 100 g/pokok/tahun dan baja organik mengikut keperluan.  Bagi kawalan rumpai pula, beliau hanya menggunakan kaedah biologi iaitu ragutan rumput oleh binatang ternakan dan kaedah manual menggunakan parang.

Kebun sawit milik En. Lai Siang Ann

Rajah 2: Kebun sawit milik En. Lai Siang Ann

Aktiviti penuaian dilakukan dua pusingan sebulan iaitu pada setiap 12-15 hari.  ‘Piawaian satu biji buah relai’ diamalkan bagi memastikan buah yang dituai benar-benar masak dan berkualiti.  BTS yang dituai dan biji relai yang dikutip sepenuhnya akan dihantar ke kilang berhampiran dalam masa kurang dari 24 jam.  Beliau juga akan memastikan 1-2 pelepah ditinggalkan di bawah tandan hitam terakhir untuk mengelakkan terlebih pangkas (over pruning) dan memudahkan kerja penuian pada pusingan penuaian seterusnya.  Pemangkasan biasanya dilakukan semasa proses penuaian dan pelepah diletakkan selang sebaris di setiap lorong sawit.

“Tidak tambah kiri dan kanan, depan dan belakang, tetapi kita tambahlah ke atas,” begitulah kata-kata beliau dalam mencari inisiatif lain dalam mengembangkan perusahaan di kebunnya.  Selain menanam sawit, beliau juga mengusahakan ternakan kambing dari baka Boer, Farell dan Kampung sebanyak 105 ekor, yang mana 22 ekor daripadanya diterima dari Skim Bantuan Integrasi Ternakan MPOB pada 2010.  Selain itu, beliau juga menternak kerbau dan kuda di kebunnya.

Ternakan kambing

Rajah 3: Ternakan kambing

Meskipun dengan keluasan yang terhad, beliau menggunakan sepenuhnya kawasan kebun beliau dengan menanam pokok gaharu dan sayur-sayuran yang ditanam di antara baris sawit seluas 1.8 ha.  Selain itu, terdapat beberapa kolam yang berukuran 30.48 m X 45.72 m untuk ternakan ikan kerapu hibrid dan juga udang kertas.  Pada masa yang sama, beliau juga membina bangunan untuk perusahaan sarang burung walit di samping menguruskan kedai roti sendiri yang terletak di bangunan kedai Sapang, Kunak.  Sebelum berkecimpung sepenuh masa dalam bidang penanaman sawit dan penternakan, En. Lai Siang Ann pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Perniagaan dan Perindustrian pada 1990 hingga 1991.  Berpendidikan sehingga tingkatan 4, beliau juga merupakan seorang yang rajin berusaha dengan mempelajari ilmu berkaitan perladangan dan penternakan dengan menghadiri pelbagai kursus, seminar, ceramah dan program yang dianjurkan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Hidupan Liar dan MPOB.

Kolam ternakan ikan kerapu hibrid

Rajah 4: Kolam ternakan ikan kerapu hibrid

En. Lai Siang Ann yang berasal dari Klang, Selangor kini menetap bersama isterinya, Pn. Chong Nyet Ngo di Kunak, Sabah dan hasil perkongsian hidup, beliau mempunyai dua orang anak.  Segala usahanya tidak sia-sia apabila beliau menjadi pemenang Anugerah Industri Sawit dan kebun beliau telah berjaya mendapat Pensijilan MPOB Amalan Pertanian Baik (GAP), selain menjadi Plot Kebun Contoh MPOB sebagai sumber rujukan pekebun kecil di kawasan sekitar.  Bagi beliau, ilmu pengetahuan dalam bidang tertentu perlu dikuasai dengan membaca dan saling bertukar pendapat dengan pengusaha yang lain bagi memajukan diri dalam apa bidang sekali pun.

 

Sumbangan:  Shakir Alid (PTZ Zon Sabah 2) dan M Fadly Mustapa (PTK Kunak)

 

Dari: Warta Sawit, Bil. 55(3)/Sep-Dis 2013, muka surat 22-23.

Filed Under: Berita, Cerita Kejayaan

Rezeki tidak datang bergolek, perlu gigih berusaha

En Mohd Nasir di kebun sawit beliau

En Mohd Nasir di kebun sawit beliau

 

“Rezeki tidak datang bergolek, perlu gigih berusaha”.  Inilah kata-kata semangat yang menjadi pegangan dan prinsip hidup Peladang Jaya kali ini.  Beliau yang dimaksudkan iaitu En Mohd Nasir Omar yang berumur 38 tahun dan menetap di Kg Sarang Tiong, Kuala Rompin, Pahang.

Hasil buah tandan segar (BTS) tertinggi yang pernah dicatatkan beliau adalah 28 t/ha/thn pada 2012.  Dengan hanya mengusahakan kebun seluas 1.2 ha pada 2005, kini beliau boleh berbangga dengan penambahan keluasan kebun sawit yang mencapai 6.2 ha.  Jenis tanah di kasawan kebunnya adalah tanah pedalaman dengan bentuk topograpfi rata.  Bahan tanaman yang digunakan adalah D X P dengan jarak tanaman 8.8 m x 8.8 m x 8.8 m (sistem segi tiga), dengan jumlah pokok 148 pk/ha.  Sumber anak benih sawit pula diperoleh dari tapak semaian YP Plantation.

 

Sawah padi dan traktor yang digunakan untuk membajak sawah

Sawah padi dan traktor yang digunakan untuk membajak sawah

 

Sebelum terlibat dengan penanaman sawit, En Mohd Nasir merupakan seorang pesawah.  Beliau mengusahakan tanaman padi sejak tahun 1990 dengan keluasan tanaman 1.2 ha dan kini bertambah kepada 3.6 ha hasil usaha kerasnya.  Selain itu, En Mohd Nasir juga turut mengusahakan tanaman padi seluas 14.4 ha yang dipajak daripada penduduk sekitar.  Beliau juga mempunyai sebuah traktor sendiri yang digunakan untuk membajak tanah sawah.  Traktor ini juga turut digunakan untuk menarik treler bagi mengangkut BTS keluar dari ladang dan dijual kepada peraih terdekat.

Beliau mula berminat untuk menanam sawit sejak 2005.  Ini disebabkan tanah dibiar di sebelah tanah sawah beliau yang tidak dapat di usahakan dengan tanaman padi kerana masalah pengairan.  Penyediaan kebun untuk tanaman sawit pada peringkat awal diuruskan menggunakan modal sendiri.  Setelah mendapat khidmat nasihat daripada Pegawai TUNAS Kawasan, En Mohd Nasir telah menggunakan baja sebatian yang seimbang untuk kebun sawit beliau.

Beliau menggunakan baja sebatian MPOB F1 dengan kadar 9 kg/pk/thn dengan kekerapan pusingan tiga kali setahun.  Kerja penyelenggaraan kebun seperti meracun dan membaja dilakukan sendiri.  Jika tidak berkesempatan, beliau akan mengupah penduduk di kawasan sekitar untuk menuai buah sawitnya.  Selain itu, En Mohd Nasir juga telah membeli sebuah lori untuk mengangkut BTS, hasil padi dan input pertanian seperti baja dan racun.  Lori ini turut disewakan kepada penduduk setempat untuk mengangkut anak benih sawit.

 

Lori mengangkut buah tandan sawit, baja dan racun

Lori yang dunakan untuk mengangkut BTS, hasil padi dan juga input pertanian seperti baja dan racun

 

Sejak 2012 juga, En Mohd Nasir menjalankan ternakan lembu dan kambing yang diintegrasikan dengan sawit bagi memaksimumkan penggunaan tanah di kebun miliknya.  Selain menjana pendapatan sampingan, kos merumpai juga turut dapat dikurangkan.  Jumlah ternakan yang dimilikinya kini adalah enam ekor lembu dan lapan ekor kambing.  Selain itu, beliau turut mempunyai kemahiran dalam bidang kimpalan dan treler yang digunakannya adalah ciptaan sendiri.

 

Treler yang dicipta beliau untuk mengangkut BTS

Treler yang dicipta beliau untuk mengangkut BTS

 

Meskipun banyak masanya dihabiskan sebagai petani, En Mohd Nasir juga bergerak aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.  Antara jawatan yang disandang ialah Ketua Biro Kebudayaan Belia dan Sukan, AJK Kg Sarang Tiong, Penyelia Projek Mini Estet Padi dalam aktiviti PPK Rompin, Setiausaha Persatuan Belia Garong Perkasa dan juga Naib Pengerusi Tabika KEMAS Kg Sarang Tiong.

Di samping itu, bagi menambah ilmu dalam bidang pertanian, beliau turut menyertai kursus/program yang dianjurkan oleh jabatan/agensi kerajaan lain seperti Kursus Penggredan BTS, Kursus Pengurusan Tanaman Padi, Kursus Ternakan Ruminan dan Kursus Pendek Ternakan Ruminan dan Kursus Pendek Ternakan Cacing dan Tanaman Cili Kaedah Fertigasi.

Pada masa hadapan, En Mohd Nasir bercadang untuk menambah keluasan tanah bagi tanaman sawit dan padi dan mengusahakannya sehingga berjaya.  Beliau amat menghargai usaha MPOB membantu pekebun kecil sawit meningkatkan ilmu dan pengetahuan mengenai amalan pertanian baik (GAP) sawit.  Beliau berharap agar Pusat TUNAS dapat meneruskan usaha membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit yang secara tidak langsung turut meningkatkan ekonomi negara.

Sumbangan: Mohd Haidjar Abdul Hamid   (mohd.haidhar@mpob.gov.my)                                Hasnurol Jalil   (hasnurol@mpob.gov.my)

Dari: Warta Sawit, Bil 57 (2)/ Mei – Ogos 2014, muka surat 23-24.

 

Filed Under: Berita, Cerita Kejayaan

Perosak Sawit Dan Kawalan Berkesan

Pada peringkat awal menanam sawit biasanya terdapat pelbagai jenis perosak yang menyerang tanaman ini.  Serangan ini boleh berlaku di kawasan yang baru dibangunkan dan juga di kawasan tanam semula.  Kerosakan tanaman ini adalah disebabkan oleh dua jenis perosak iaitu serangga dan haiwan mamalia.

Serangga perosak utama termasuklah kumbang kaboi, kumbang, badak, anai-anai dan belalang, manakala perosak haiwan mamalia pula adalah tikus, landak, babi hutan, monyet dan gajah.

Pengawalan perosak ini adalah penting dan sekiranya tidak dikawal dari peringkat awal ia akan menyebabkan kerugian yang besar kerana melambatkan pertumbuhan dan mengurangkan hasil.  Serangan yang teruk akan menyebabkan kematian kepada tanaman yang baru ditanam.

Perosak Serangga

Kumbang kaboi

Kumbang kaboi adalah serangga perosak utama anak sawit di tapak semaian dan anak sawit yang baru ditanam di ladang.  Terdapat dua spesis kumbang kaboi yang menyebabkan kerosakan iaitu kumbang Apogonia dan Adoretus.  Kumbang Apogonia (Apogonia sp.) berwarna hitam manakala kumbang Adoretus (Adoretus compresus) berwarna perang dan berbulu halus di badannya.  

Kumbang dewasa berukuran di antara 10 mm hingga 12 mm panjang dan hanya aktif pada waktu malam sahaja.  Pada waktu siang, kumbang dewasa ini bersembunyi di dalam tanah.  Telur perosak ini boleh ditemui di dalam tanah berhampiran pangkal pokok.  Larva kumbang hidup dengan memakan bahan yang mereput serta akar-akar rumpai.  

Kerosakan daun oleh kumbang kaboi

Kerosakan daun oleh kumbang kaboi

Kesan serangan ini dapat dilihat di lubang-lubang yang terdapat pada daun sawit.  Kumbang Apogonia memakan daun dengan lebih luas bermula dari tepi daun manakala kumbang Adoretus memakan bahagian tengah daun dan menyebabkan daun berlubang-lubang dalam bentuk yang lebih kecil.

Kawalan yang berkesan untuk mengawal perosak ini adalah dengan menyembur racun trichlorfon atau cypermethrin pada daun sawit.

Kumbang badak

Kumbang badak (Oryctes rhinoceros) adalah perosak utama tanaman sawit pada peringkat awal menanam.  Serangan kumbang ini berlaku dengan teruk sekiranya kawasan tersebut mempunyai tempat pembiakannya seperti tunggul mereput dan bahan organik yang mereput seperti habuk papan, tahi lembu dan tandan buah kosong.

Kaedah penanaman semula tanpa pembakaran boleh juga menimbulkan masalah kerana batang sawit yang ditumbang, diracik dan dibiarkan mereput menarik perhatian perosak ini untuk dijadikan tempat pembiakannya.  Penanaman semula secara tanam bawahan (penanaman semula di bawah pokok sawit tua yang kemudiannya diracun) juga menggalakkan pembiakan serangga perosak ini.

Kumbang badak dewasa

Kumbang badak dewasa

Kumbang badak dapat dikenali dengan kehadiran tanduknya seperti badak.  Peredaran hidup kumbang badak adalah di antara lima ke tujuh bulan.  Tempoh hidup kumbang dewasa betina adalah sembilan bulan dan yang jantannya sehingga enam bulan.  Kumbang badak jantan dapat dibezakan dengan kumbang badak betina melalui kehadiran tanduknya yang lebih panjang.  Peringkat larva kumbang ini tidak membayakan pokok sawit.  Larva ini hidup dalam bahan organik yang mereput.

Kumbang dewasa akan menyerang pucuk sawit memnyebabkan lubang yang berbentuk baji.  Bahagian pucuk yang telah diserang ini akan mereput dan akhirnya patah.  Kesan daripada serangan ini menyebabkan daun muda yang keluar akan berbentuk seperti kipas pada bahagian hujungya.  Serangan yang teruk akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut manakala serangan yang sangat teruk akan menyebabkan kematian.

Kerosakan serius anak sawit oleh kumbang badak

Kerosakan serius anak sawit oleh kumbang badak

Untuk mengelakkan serangan kumbang badak ini, semua tempat-tempat pembiakannya hendaklah dimusnahkan.  Penanaman kekacang penutup bumi dapat membantu menutup tempat-tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan seperti tunggul kayu dan batang sawit yang tidak boleh dibakar.

Kawalan kimia serangga perosak ini adalah dengan menyembur racun cypermethrin atau pun lambda cyhalothrin pada bahagian pangkal pucuk sawit.  Butiran racun carbofuran didapati berkesan untuk mengawal serangan kubang ini sekiranya diletakkan pada bahagian yang sama.

Kaedah lain yang boleh digunakan untuk mengawal kumbang badak ini adalah dengan mengguna perangkap feromon.  Feromon adalah sejenis formulasi yang mengeluarkan bau yang menarik kumbang dewasa untuk berkumpul.  Feromon ini boleh dibeli secara komersil dan diletakkan di tengah perangkap yang mempunyai plat zink yang digantung pada ketinggian 2.5 m – 3m daripada paras tanah.  

Kumbang dewasa akan tertarik pada bau ini pada waktu malam dan teperangkap di dalam baldi, dikumpul dan dibunuh.  Perangkap ini dipasang antara satu hingga dua tahun atau pun sehingga bilangan tangkapan kurang daripada lima kumbang dewasa/minggu/perangkap.  Kadar penggunaan perangkap ini adalah satu perangkap bagi setiap 2 hek atau lebih dan feromon ini boleh tahan selama dua bulan di ladang.

Anai-anai

Anai-anai adalah serangga perosak yang terdapat di kawasan hutan yang baru dibuka untuk penanaman sawit.  Masalah ini menjadi lebih rumit di kawasan tanah gambut kerana tunggul-tunggul kayu mengalami proses pereputan yang perlahan.  Pembakaran tidak boleh dilakukan kerana ia akan menyebabkan kebakaran kawasan yang teruk dan malah menyahahi peraturan Jabatan Alam Sekitar.  Anai-anai akan menyerang pokok sawit apabila tunggul-tunggul kayu menjadi kering kerana paras air di kawasan tanah gambut menurun.  Serangan dilakukan oleh anai-anai pekerja serta askar dan ia boleh berlaku pada pokok muda dan matang.

Serangan anai-anai pada pokok muda dapat dikenalpasti dengan terdapatnya longgokan tanah pada bahagian pangkal pucuk pokok sawit yang baru ditanam.  Pada peringkat awal, tanah ini kelihatan basah dan akan menjadi kering dari hari ke sehari sehingga keseluruhan pucuk dan batang pokok akan diselaputi dengan lapisan tanah.

Kesan daripada serangan ini menyebabkan pucuk daun mereput manakala daun-daun muda bertukar menjadi kuning sedangkan daun-daun tua masih hijau.  Serangan biasanya berlaku selepas 12 bulan anak sawit ditanam di ladang atau kira-kira bunga pertama mula muncul.  Pada peringkat ini serangan yang teruk akan menyebabkan kematian kepada pokok dalam tempoh dua minggu.

Seranagan anai-anai pada pokok matang adalah melalui dalam tanah dan memasuki batang sawit melalui bahagian pangkal batang berhampiran tanah.  Pada bahagian pangkal batang, perosak ini masuk melalui terowong-terowong yang dibina secara menegak.  Kawasan pembiakan perosak ini amat sukar ditemui kerana ia terletak di dalam tanah di kayu mati, lembab dan hampir reput.  Pada bahagian batang pokok, laluan perosak masuk ini akan diselaputi lapisan tanah yang masih basah.  Kesan daripada serangan ini akan menyebabkan pelepah bahagian bawah menjadi kuning manakala tandan tidak menjadi buah.

Pengawalan serangga perosak ini adalah dengan menggunakan racun seperti chlorpyrifos dengan cara menyiram larutan tersebut pada pangkal batang pokok tersebut.  Sebanyak 1 hingga 3 liter larutan racun pada kadar 0.2% bahan aktif diperlukan pada setiap pokok.  Kawalan ini berkesan pada peringkat awal serangan sahaja.  Pemusnahan sarang pembiakan perosak ini adalah perlu untuk menghentikan serangan kerana ratu anai-anai bertelur dengan kadar yang agak tinggi sehari dalam masa setahun dan ini akan menyebabkan kemusnahan yang teruk di kawasan tanaman tersebut.  Sarang pembiakan perosak ini perlulah dimusnahkan dengan memecahkannya dan menyiram dengan larutan racun chlorpyrifos pada kadar 2 g bahan aktif dalam 1 liter air.

Belalang

Belalang menjadi perosak utama dalam keadaan cuaca yang sesuai di mana populasi perosak ini meningkat.  Serangan perosak ini bermula dengan kerosakan pada tanaman penutup bumi dan kemudiannya memakan daun sawit yang masih muda.

Belalang kunyit (Valanga nigricornis) didapati merosakkan tanaman sawit.  Ia bertelur dalam kelompok di antara 70-100 biji yang ditanam dalam tanah dengan kedalaman 5 mm hingga 8 mm.  Telur ini akan menetas dalam temph dua bulan dan melalui enam peringkat nimpa sebelum menjadi dewasa dalam tempoh 80 hari. 

Kawalan yang berkesan untuk perosak ini adalah dengan menanam kekacang penutup bumi untuk mengurangkan kawasan pembiakannya.  Perosak ini akan bertelur di kawasan yang terbuka dan berpasir.  Sekiranya serangan telah berlaku racun trichlorfon dan chlorpyrifos hendaklah disembur pada daun.  Semasa penyediaan larutan ini, gula boleh juga ditambah di dalam larutan tersebut untuk menarik minat belalang tersebut memakan daun dan seterusnya memakan racun-racun yang telah disembur.

 

Sumbangan: Zulkifli Masijan

Dari: Berita Sawit, Bil 15/2000 muka surat 7 – 9.

 

Filed Under: Berita, Maklumat

  • 1
  • 2
  • 3
  • …
  • 5
  • Next Page »

HUBUNG KAMI

Union Harvest Sdn. Bhd.
Tel : +603-7957 2122     Fax : +603-7957 2630

Baca Lagi

Copyright © 2025 · created by gen1one.com ·