Peladang Jaya kali ini menampilkan En. Lai Siang Ann, 55 tahun dari Kg. Sapang, Kunak, Sabah. Beliau merupakan pemenang Anugerah Industri Sawit bagi kategori Peladang Jaya Negeri Sabah pada 2012 dan merupakan Ahli Kelab 30 Tan MPOB. Tahun 2011 merekodkan pencapaian tertinggi buah tandan segar (BTS) yang pernah diperoleh beliau iaitu sebanyak 37.50 t/ha/tahun atau RM237,425.00.
Beliau mula mengusahakan penanaman sawit pada 1996. Bahan tanaman yang digunakan adalah DXP yang diperoleh daripada Jabatan Pertanian Sabah. Beliau mengamalkan sistem tanaman segi tiga sama dengan ukuran 9m X 9m X 9m dengan kepadatan sebanyak 136 pokok/ha. Kini keluasan tanaman sawit di kebun beliau seluas 9.72 ha. Dalam usaha untuk memastikan pokok sawit yang ditanam hidup subur dan mempunyai hasil BTS yang tinggi, beliau menggunakan baja MPOB F1 dengan kadar 6 kg/pokok/tahun, MgO 3 kg/pokok/tahun, HI KAY 6 kg/pokok/tahun, Boron 100 g/pokok/tahun dan baja organik mengikut keperluan. Bagi kawalan rumpai pula, beliau hanya menggunakan kaedah biologi iaitu ragutan rumput oleh binatang ternakan dan kaedah manual menggunakan parang.
Aktiviti penuaian dilakukan dua pusingan sebulan iaitu pada setiap 12-15 hari. ‘Piawaian satu biji buah relai’ diamalkan bagi memastikan buah yang dituai benar-benar masak dan berkualiti. BTS yang dituai dan biji relai yang dikutip sepenuhnya akan dihantar ke kilang berhampiran dalam masa kurang dari 24 jam. Beliau juga akan memastikan 1-2 pelepah ditinggalkan di bawah tandan hitam terakhir untuk mengelakkan terlebih pangkas (over pruning) dan memudahkan kerja penuian pada pusingan penuaian seterusnya. Pemangkasan biasanya dilakukan semasa proses penuaian dan pelepah diletakkan selang sebaris di setiap lorong sawit.
“Tidak tambah kiri dan kanan, depan dan belakang, tetapi kita tambahlah ke atas,” begitulah kata-kata beliau dalam mencari inisiatif lain dalam mengembangkan perusahaan di kebunnya. Selain menanam sawit, beliau juga mengusahakan ternakan kambing dari baka Boer, Farell dan Kampung sebanyak 105 ekor, yang mana 22 ekor daripadanya diterima dari Skim Bantuan Integrasi Ternakan MPOB pada 2010. Selain itu, beliau juga menternak kerbau dan kuda di kebunnya.
Meskipun dengan keluasan yang terhad, beliau menggunakan sepenuhnya kawasan kebun beliau dengan menanam pokok gaharu dan sayur-sayuran yang ditanam di antara baris sawit seluas 1.8 ha. Selain itu, terdapat beberapa kolam yang berukuran 30.48 m X 45.72 m untuk ternakan ikan kerapu hibrid dan juga udang kertas. Pada masa yang sama, beliau juga membina bangunan untuk perusahaan sarang burung walit di samping menguruskan kedai roti sendiri yang terletak di bangunan kedai Sapang, Kunak. Sebelum berkecimpung sepenuh masa dalam bidang penanaman sawit dan penternakan, En. Lai Siang Ann pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Perniagaan dan Perindustrian pada 1990 hingga 1991. Berpendidikan sehingga tingkatan 4, beliau juga merupakan seorang yang rajin berusaha dengan mempelajari ilmu berkaitan perladangan dan penternakan dengan menghadiri pelbagai kursus, seminar, ceramah dan program yang dianjurkan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Hidupan Liar dan MPOB.
En. Lai Siang Ann yang berasal dari Klang, Selangor kini menetap bersama isterinya, Pn. Chong Nyet Ngo di Kunak, Sabah dan hasil perkongsian hidup, beliau mempunyai dua orang anak. Segala usahanya tidak sia-sia apabila beliau menjadi pemenang Anugerah Industri Sawit dan kebun beliau telah berjaya mendapat Pensijilan MPOB Amalan Pertanian Baik (GAP), selain menjadi Plot Kebun Contoh MPOB sebagai sumber rujukan pekebun kecil di kawasan sekitar. Bagi beliau, ilmu pengetahuan dalam bidang tertentu perlu dikuasai dengan membaca dan saling bertukar pendapat dengan pengusaha yang lain bagi memajukan diri dalam apa bidang sekali pun.
Sumbangan: Shakir Alid (PTZ Zon Sabah 2) dan M Fadly Mustapa (PTK Kunak)
Dari: Warta Sawit, Bil. 55(3)/Sep-Dis 2013, muka surat 22-23.