Dari segi taksonomi, sawit adalah dari keluarga Palmae, suku Cocoseae dan genus Elaeis. Terdapat dua spesies sawit iaitu Elaeis guineensis yang berasal dari Afrika dan Elaeis olefera yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Spesies sawit yang selalu digunakan sebagai tanaman komersial ialah Elaies guineensis kerana ia memberikan hasil buah tandan segar (BTS) dan nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi berbanding Elaeis olefera (Rajah 1 – 4).
Bahan tanaman berkualiti merupakan faktor penting menentukan hasil sawit. Menanam anak benih berkualiti serta mempraktikkan pengurusan dan amalan agronomi yang baik akan menghasilkan pokok sawit yang dapat mengeluarkan hasil BTS yang tinggi. Sebalik-nya, penggunaan bahan tanaman yang berkualiti rendah akan menghasilkan pokok sawit yang memberi hasil BTS yang rendah.
Pemilihan bahan tanaman berkualiti adalah kritikal dalam industri sawit yang mempunyai jangka hayat ekonomi dalalm linkungan 25 tahun. Penanam akan mengalami kerugian kerana hasil rendah sepanjang hayat tanaman sekiranya mengambil ringan faktor kualiti dalam penghasilan dan pemilihan bahan tanaman sawit.
Genetik Pengeluaran Biji Benih DxP
Tanaman sawit adalah contoh terbaik di mana kemajuan pemilihan tercapai melalui satu gen. Gen (Sh) tersebut mengawal kehadiran tempurung pada buah. Homozigo dominan (Sh+Sh+) menghasilkan dura (D) bertempurung tebal. Homozigot resesif (Sh-Sh-) pula menghasilkan pisifera (P) tanpa tempurung. Heterozigot (Sh+Sh-) menghasilkan tenera bertempurung nipis. Bahan tanaman komersial yang kerap digunakan ialah jenis tenera atau lebih dikenali sebagai DxP kerana memberikan hasil BTS dan nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi. Tenera terhasil dari kacukan antara dura dan pisifera (Rajah 5).
Purata Komposisi Buah Dura dan Tenera
Secara amnya, dura dan tenera tiada perbezaan pada nisbah buah ke tandan, isirung ke buah dan minyak ke mesokarpa basah (Jadual 1). Walau bagaimanapun, tenera lebih unggul kerana mempunyai nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi. Ini kerana pada tenera, mesokarpa ke buah adalah lebih tinggi sementara tempurung ke buah pula lebih rendah.
Jadual 1. Purata Komposisi Buah Dura Dan Tenera
Ciri | Dura (%) | Tenera (%) |
Buah ke tandan | 60 | 60 |
Mesokarpa ke buah | 60 | 80 |
Tempurung ke buah | 30 | 10 |
Isirung ke buah | 10 | 10 |
Minyak ke mesokarpa basah | 50 | 50 |
Minyak ke tandan | 18 | 24 |
Nota: Berdasarkan peratus berat basah
Pengeluar Biji Benih Berlesen di Malaysia
Sehingga Januari 2013, terdapat sebanyak 21 pengeluar biji benih sawit yang berlesen di Malaysia (Jadual 2). Bagi memelihara kualiti bahan tanaman, agensi pengeluar biji benih komersial adalah tertakluk kepada Piawai Malaysia (MS157) iaitu spesifikasi untuk biji benih bagi tujuan tanaman komersial. Sehingga kini, spesifikasi tersebut telah dikemaskini sebanyak tiga kali.
- MS157: 1975
- MS157: 1998 (Kemaskini pertama)
- MS157: 1997 (Kemaskini kedua)
- MS157: 2005 (Kemaskini ketiga)
Jadual 2. Pengeluar Biji Benih Sawit Berlesen Di Malaysia
Nama Pengeluar | Tempat |
Applied Agricultural Resources Sdn Bhd | Tawau, Sabah |
Borneo Samudera Sdn Bhd | Tawau, Sabah |
EPA Management Sdn Bhd | Kota Tinggi, Johor |
FELCRA Plantation Services Sdn Bhd | Kluang, Johor |
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd | Johor Bahru, Johor |
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd | Jerantut, Pahang |
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd | Lahad Datu, Sabah |
IJM Plantations Bhd | Labuk/Sugut, Sabah |
Lembaga Minyak Sawit Malaysia | Kluang, Johor |
Nalfin Planting Material Sdn Bhd | Hilir Perak, Perak |
Pamol Plantations Sdn Bhd | Kluang, Johor |
Pamol Estates (Sabah) Sdn Bhd | Labuk/Sugut, Sabah |
Pertubuhan Peladang Negeri Johor | Kluang, Johor |
RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd | Dungun, Terengganu |
Sarawak Plantation Agriculture Sdn Bhd | Miri, Sarawak |
Sasaran Ehsan Utama Sdn Bhd | Segamat, Johor |
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd | Kluang, Johor |
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd | Kuala Langat, Selangor |
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd | Tawau, Sabah |
United Plantations Berhad | Hilir Perak, Perak |
Sumber Bahan Tanaman Yang Berkualiti
Pengeluaran anak benih sawit berkualiti ditentukan oleh dua faktor utama. Faktor pertama adalah penggunaan biji benih terpilih DxP yang diperoleh daripada pengeluar yang berlesen dengan MPOB. Lazimnya potensi hasil adalah tinggi. Piawai Malaysia (MS157) yang dikeluarkan oleh Jabatan Piawai Malaysia digunakan dalam menentukan pemilihan induk untuk penghasilan biji benih DxP. Ini bertujuan bagi memastikan agensi pengeluar biji benih di Malaysia menghasilkan bahan tanaman yang berkualiti. Piawai terkini dikeluarkan pada 2005 dan dikenali sebagai MS157: 2005.
Pengusaha ladang dan juga pekebun kecil perlu mendapatkan anak benih dari pengusaha tapak semaian yang menggunakan sumber bahan tanaman dari pengeluar biji benih yang sah. Mereka tidak digalakkan membeli dari sumber yang diragui walaupun harga yang ditawarkan mungkin lebih murah daripada harga pasaran. Anak benih yang tumbuh di bawah pokok juga tidak boleh digunakan sebagai bahan tanaman.
Sekiranya ia dilakukan, terdapat kebarangkalian bahawa bahan tanaman yang terhasil terdiri daripada campuran dura, tenera dan pisifera. Justeru, akan memberi hasil BTS dan minyak ke tandan yang rendah secara keseluruhannya. Perkara ini terjadi kerana biji benih di bawah pokok tersebut mungkin terhasil dari kacukan antara satu pokok tenera dengan pokok tenera yang lain di ladang tersebut (Rajah 6). Pengusaha ladang yang berkenaan akan mengalami kerugian sepanjang jangka hayat ekomoni tanaman sawit iaitu lebih kurang selama 25 tahun.
Sumbangan: Dr. Mohd Din Amiruddin
Dari: Warta Sawit, Bil 54(2) / Mei-Ogos 2013, muka surat 4-5, 27.