MPOB F1

Baja Sawit Terbaik

  • Laman Utama
  • Pengenalan
  • Proses Pemadatan
  • MPOB F1
  • MPOB F1 Xtra K
  • Hubung Kami
  • Berita
  • [English]

Baja Sawit MPOB F1 dinaik taraf dengan Baja Fosfat Bayovar

Oil palm tree with many fresh fruit bunches

Union Harvest telah meningkatkan kualiti baja sawit MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K dengan menggunakan baja Bayovar Rock Phosphate sebagai sumber fosfat.

Penyelidikan baja sepanjang tempoh 5 tahun telah menunjukkan bahawa penggunaan baja batuan fosfat yang sangat reaktif seperti Bayovar Rock Phosphate boleh meningkatkan hasil sawit sebanyak 11% jika dibandingkan dengan menggunakan baja batuan fosfat sederhana reaktif.

Satu lagi penyelidikan oleh FGV juga membandingkan keberkesanan baja batuan fosfat reaktif yang tinggi terhadap baja batuan fosfat reaktif yang rendah di telapak pokok sawit muda.

Syarikat perladangan yang besar seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd, Boustead Plantations, IOI Plantations, Genting Plantations, KULIM Plantations, TSH Plantations, TDM Plantations, Felda dan lain-lain lagi telah menggunakan baja fosfat Bayovar di ladang sawit mereka untuk meningkatkan hasil.

high reactive rock phosphate fertilizer pouring into an open palm

Baja Fosfat Yang Sangat Reaktif

Baja sebatian MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K adalah satu-satunya di Asia yang mempunyai baja batuan fosfat Bayovar sebagai sumber fosfat. Selain itu, baja sawit MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K terdapat juga baja fosfat larut dalam air yang menyediakan nutrien P segera untuk meningkatkan pengambilan nutrien N dan K ke pokok sawit.

Dengan menggunakan kedua-dua baja batuan fosfat Bayovar dan baja fosfat larut dalam air sebagai bahan mentah dalam baja sebatian MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K, kami ingin membantu para pelanggan kami meningkatkan buah berat tandan dan mencapai hasil yang lebih tinggi dan konsisten.

 

Filed Under: Berita, Maklumat Tagged With: baja sawit, Bayovar

Bahan Tanaman Berkualiti

Dari segi taksonomi, sawit adalah dari keluarga Palmae, suku Cocoseae dan genus Elaeis.  Terdapat dua spesies sawit iaitu Elaeis guineensis yang berasal dari Afrika dan Elaeis olefera yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.  Spesies sawit yang selalu digunakan sebagai tanaman komersial ialah Elaies guineensis kerana ia memberikan hasil buah tandan segar (BTS) dan nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi berbanding Elaeis olefera (Rajah 1 – 4).

Pokok Sawit Elaeis Guineesis

Rajah 1: Pokok sawit Elaeis guineensis

Buah tandan segar Elaeis Guineensis

Rajah 2: Buah tandan segar Elaeis guineensis

Bahan tanaman berkualiti merupakan faktor penting menentukan hasil sawit.  Menanam anak benih berkualiti serta mempraktikkan pengurusan dan amalan agronomi yang baik akan menghasilkan pokok sawit yang dapat mengeluarkan hasil BTS yang tinggi.  Sebalik-nya, penggunaan bahan tanaman yang berkualiti rendah akan menghasilkan pokok sawit yang memberi hasil BTS yang rendah.

Pokok sawit Elaeis Oleifera

Rajah 3: Pokok sawit Elaeis oleifera

Pemilihan bahan tanaman berkualiti adalah kritikal dalam industri sawit yang mempunyai jangka hayat ekonomi dalalm linkungan 25 tahun.  Penanam akan mengalami kerugian kerana hasil rendah sepanjang hayat tanaman sekiranya mengambil ringan faktor kualiti dalam penghasilan dan pemilihan bahan tanaman sawit.

Buah tandan segar Elaeis Oleifera

Rajah 4: Buah tandan segar Elaeis oleifera

Genetik Pengeluaran Biji Benih DxP

Tanaman sawit adalah contoh terbaik di mana kemajuan pemilihan tercapai melalui satu gen.  Gen (Sh) tersebut mengawal kehadiran tempurung pada buah.  Homozigo dominan (Sh+Sh+) menghasilkan dura (D) bertempurung tebal.  Homozigot resesif (Sh-Sh-) pula menghasilkan pisifera (P) tanpa tempurung.  Heterozigot (Sh+Sh-) menghasilkan tenera bertempurung nipis.  Bahan tanaman komersial yang kerap digunakan ialah jenis tenera atau lebih dikenali sebagai DxP kerana memberikan hasil BTS dan nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi.  Tenera terhasil dari kacukan antara dura dan pisifera (Rajah 5).

Purata Komposisi Buah Dura dan Tenera

Secara amnya, dura dan tenera tiada perbezaan pada nisbah buah ke tandan, isirung ke buah dan minyak ke mesokarpa basah (Jadual 1).  Walau bagaimanapun, tenera lebih unggul kerana mempunyai nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi.  Ini kerana pada tenera, mesokarpa ke buah adalah lebih tinggi sementara tempurung ke buah pula lebih rendah.

Kacukan DxP

Rajah 5: Kacukan DxP

Jadual 1. Purata Komposisi Buah Dura Dan Tenera

Ciri Dura (%) Tenera (%)
Buah ke tandan 60 60
Mesokarpa ke buah 60 80
Tempurung ke buah 30 10
Isirung ke buah 10 10
Minyak ke mesokarpa basah 50 50
Minyak ke tandan 18 24

Nota: Berdasarkan peratus berat basah

Pengeluar Biji Benih Berlesen di Malaysia

Sehingga Januari 2013, terdapat sebanyak 21 pengeluar biji benih sawit yang berlesen di Malaysia (Jadual 2).  Bagi memelihara kualiti bahan tanaman, agensi pengeluar biji benih komersial adalah tertakluk kepada Piawai Malaysia (MS157) iaitu spesifikasi untuk biji benih bagi tujuan tanaman komersial.  Sehingga kini, spesifikasi tersebut telah dikemaskini sebanyak tiga kali.

  • MS157: 1975
  • MS157: 1998 (Kemaskini pertama)
  • MS157: 1997 (Kemaskini kedua)
  • MS157: 2005 (Kemaskini ketiga)

Jadual 2. Pengeluar Biji Benih Sawit Berlesen Di Malaysia

Nama Pengeluar Tempat
Applied Agricultural Resources Sdn Bhd Tawau, Sabah
Borneo Samudera Sdn Bhd Tawau, Sabah
EPA Management Sdn Bhd Kota Tinggi, Johor
FELCRA Plantation Services Sdn Bhd Kluang, Johor
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Johor Bahru, Johor
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Jerantut, Pahang
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Lahad Datu, Sabah
IJM Plantations Bhd Labuk/Sugut, Sabah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia Kluang, Johor
Nalfin Planting Material Sdn Bhd Hilir Perak, Perak
Pamol Plantations Sdn Bhd Kluang, Johor
Pamol Estates (Sabah) Sdn Bhd Labuk/Sugut, Sabah
Pertubuhan Peladang Negeri Johor Kluang, Johor
RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd Dungun, Terengganu
Sarawak Plantation Agriculture Sdn Bhd Miri, Sarawak
Sasaran Ehsan Utama Sdn Bhd Segamat, Johor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Kluang, Johor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Kuala Langat, Selangor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Tawau, Sabah
United Plantations Berhad Hilir Perak, Perak

Sumber Bahan Tanaman Yang Berkualiti

Pengeluaran anak benih sawit berkualiti ditentukan oleh dua faktor utama.  Faktor pertama adalah penggunaan biji benih terpilih DxP yang diperoleh daripada pengeluar yang berlesen dengan MPOB.  Lazimnya potensi hasil adalah tinggi.  Piawai Malaysia (MS157) yang dikeluarkan oleh Jabatan Piawai Malaysia digunakan dalam menentukan pemilihan induk untuk penghasilan biji benih DxP.  Ini bertujuan bagi memastikan agensi pengeluar biji benih di Malaysia menghasilkan bahan tanaman yang berkualiti.  Piawai terkini dikeluarkan pada 2005 dan dikenali sebagai MS157: 2005.

Pengusaha ladang dan juga pekebun kecil perlu mendapatkan anak benih dari pengusaha tapak semaian yang menggunakan sumber bahan tanaman dari pengeluar biji benih yang sah.  Mereka tidak digalakkan membeli dari sumber yang diragui walaupun harga yang ditawarkan mungkin lebih murah daripada harga pasaran.  Anak benih yang tumbuh di bawah pokok juga tidak boleh digunakan sebagai bahan tanaman.

Jenis penanaman anak benih yang tumbuh di bawah pokok

Rajah 6: Jenis tanaman yang terhasil dari penanaman anak benih yang tumbuh di bawah pokok.

Sekiranya ia dilakukan, terdapat kebarangkalian bahawa bahan tanaman yang terhasil terdiri daripada campuran dura, tenera dan pisifera.  Justeru, akan memberi hasil BTS dan minyak ke tandan yang rendah secara keseluruhannya.  Perkara ini terjadi kerana biji benih di bawah pokok tersebut mungkin terhasil dari kacukan antara satu pokok tenera dengan pokok tenera yang lain di ladang tersebut (Rajah 6).  Pengusaha ladang yang berkenaan akan mengalami kerugian sepanjang jangka hayat ekomoni tanaman sawit iaitu lebih kurang selama 25 tahun.

 

Sumbangan: Dr. Mohd Din Amiruddin

Dari: Warta Sawit, Bil 54(2) / Mei-Ogos 2013, muka surat 4-5, 27.

Filed Under: Berita, Maklumat

Perosak Sawit Dan Kawalan Berkesan

Pada peringkat awal menanam sawit biasanya terdapat pelbagai jenis perosak yang menyerang tanaman ini.  Serangan ini boleh berlaku di kawasan yang baru dibangunkan dan juga di kawasan tanam semula.  Kerosakan tanaman ini adalah disebabkan oleh dua jenis perosak iaitu serangga dan haiwan mamalia.

Serangga perosak utama termasuklah kumbang kaboi, kumbang, badak, anai-anai dan belalang, manakala perosak haiwan mamalia pula adalah tikus, landak, babi hutan, monyet dan gajah.

Pengawalan perosak ini adalah penting dan sekiranya tidak dikawal dari peringkat awal ia akan menyebabkan kerugian yang besar kerana melambatkan pertumbuhan dan mengurangkan hasil.  Serangan yang teruk akan menyebabkan kematian kepada tanaman yang baru ditanam.

Perosak Serangga

Kumbang kaboi

Kumbang kaboi adalah serangga perosak utama anak sawit di tapak semaian dan anak sawit yang baru ditanam di ladang.  Terdapat dua spesis kumbang kaboi yang menyebabkan kerosakan iaitu kumbang Apogonia dan Adoretus.  Kumbang Apogonia (Apogonia sp.) berwarna hitam manakala kumbang Adoretus (Adoretus compresus) berwarna perang dan berbulu halus di badannya.  

Kumbang dewasa berukuran di antara 10 mm hingga 12 mm panjang dan hanya aktif pada waktu malam sahaja.  Pada waktu siang, kumbang dewasa ini bersembunyi di dalam tanah.  Telur perosak ini boleh ditemui di dalam tanah berhampiran pangkal pokok.  Larva kumbang hidup dengan memakan bahan yang mereput serta akar-akar rumpai.  

Kerosakan daun oleh kumbang kaboi

Kerosakan daun oleh kumbang kaboi

Kesan serangan ini dapat dilihat di lubang-lubang yang terdapat pada daun sawit.  Kumbang Apogonia memakan daun dengan lebih luas bermula dari tepi daun manakala kumbang Adoretus memakan bahagian tengah daun dan menyebabkan daun berlubang-lubang dalam bentuk yang lebih kecil.

Kawalan yang berkesan untuk mengawal perosak ini adalah dengan menyembur racun trichlorfon atau cypermethrin pada daun sawit.

Kumbang badak

Kumbang badak (Oryctes rhinoceros) adalah perosak utama tanaman sawit pada peringkat awal menanam.  Serangan kumbang ini berlaku dengan teruk sekiranya kawasan tersebut mempunyai tempat pembiakannya seperti tunggul mereput dan bahan organik yang mereput seperti habuk papan, tahi lembu dan tandan buah kosong.

Kaedah penanaman semula tanpa pembakaran boleh juga menimbulkan masalah kerana batang sawit yang ditumbang, diracik dan dibiarkan mereput menarik perhatian perosak ini untuk dijadikan tempat pembiakannya.  Penanaman semula secara tanam bawahan (penanaman semula di bawah pokok sawit tua yang kemudiannya diracun) juga menggalakkan pembiakan serangga perosak ini.

Kumbang badak dewasa

Kumbang badak dewasa

Kumbang badak dapat dikenali dengan kehadiran tanduknya seperti badak.  Peredaran hidup kumbang badak adalah di antara lima ke tujuh bulan.  Tempoh hidup kumbang dewasa betina adalah sembilan bulan dan yang jantannya sehingga enam bulan.  Kumbang badak jantan dapat dibezakan dengan kumbang badak betina melalui kehadiran tanduknya yang lebih panjang.  Peringkat larva kumbang ini tidak membayakan pokok sawit.  Larva ini hidup dalam bahan organik yang mereput.

Kumbang dewasa akan menyerang pucuk sawit memnyebabkan lubang yang berbentuk baji.  Bahagian pucuk yang telah diserang ini akan mereput dan akhirnya patah.  Kesan daripada serangan ini menyebabkan daun muda yang keluar akan berbentuk seperti kipas pada bahagian hujungya.  Serangan yang teruk akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut manakala serangan yang sangat teruk akan menyebabkan kematian.

Kerosakan serius anak sawit oleh kumbang badak

Kerosakan serius anak sawit oleh kumbang badak

Untuk mengelakkan serangan kumbang badak ini, semua tempat-tempat pembiakannya hendaklah dimusnahkan.  Penanaman kekacang penutup bumi dapat membantu menutup tempat-tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan seperti tunggul kayu dan batang sawit yang tidak boleh dibakar.

Kawalan kimia serangga perosak ini adalah dengan menyembur racun cypermethrin atau pun lambda cyhalothrin pada bahagian pangkal pucuk sawit.  Butiran racun carbofuran didapati berkesan untuk mengawal serangan kubang ini sekiranya diletakkan pada bahagian yang sama.

Kaedah lain yang boleh digunakan untuk mengawal kumbang badak ini adalah dengan mengguna perangkap feromon.  Feromon adalah sejenis formulasi yang mengeluarkan bau yang menarik kumbang dewasa untuk berkumpul.  Feromon ini boleh dibeli secara komersil dan diletakkan di tengah perangkap yang mempunyai plat zink yang digantung pada ketinggian 2.5 m – 3m daripada paras tanah.  

Kumbang dewasa akan tertarik pada bau ini pada waktu malam dan teperangkap di dalam baldi, dikumpul dan dibunuh.  Perangkap ini dipasang antara satu hingga dua tahun atau pun sehingga bilangan tangkapan kurang daripada lima kumbang dewasa/minggu/perangkap.  Kadar penggunaan perangkap ini adalah satu perangkap bagi setiap 2 hek atau lebih dan feromon ini boleh tahan selama dua bulan di ladang.

Anai-anai

Anai-anai adalah serangga perosak yang terdapat di kawasan hutan yang baru dibuka untuk penanaman sawit.  Masalah ini menjadi lebih rumit di kawasan tanah gambut kerana tunggul-tunggul kayu mengalami proses pereputan yang perlahan.  Pembakaran tidak boleh dilakukan kerana ia akan menyebabkan kebakaran kawasan yang teruk dan malah menyahahi peraturan Jabatan Alam Sekitar.  Anai-anai akan menyerang pokok sawit apabila tunggul-tunggul kayu menjadi kering kerana paras air di kawasan tanah gambut menurun.  Serangan dilakukan oleh anai-anai pekerja serta askar dan ia boleh berlaku pada pokok muda dan matang.

Serangan anai-anai pada pokok muda dapat dikenalpasti dengan terdapatnya longgokan tanah pada bahagian pangkal pucuk pokok sawit yang baru ditanam.  Pada peringkat awal, tanah ini kelihatan basah dan akan menjadi kering dari hari ke sehari sehingga keseluruhan pucuk dan batang pokok akan diselaputi dengan lapisan tanah.

Kesan daripada serangan ini menyebabkan pucuk daun mereput manakala daun-daun muda bertukar menjadi kuning sedangkan daun-daun tua masih hijau.  Serangan biasanya berlaku selepas 12 bulan anak sawit ditanam di ladang atau kira-kira bunga pertama mula muncul.  Pada peringkat ini serangan yang teruk akan menyebabkan kematian kepada pokok dalam tempoh dua minggu.

Seranagan anai-anai pada pokok matang adalah melalui dalam tanah dan memasuki batang sawit melalui bahagian pangkal batang berhampiran tanah.  Pada bahagian pangkal batang, perosak ini masuk melalui terowong-terowong yang dibina secara menegak.  Kawasan pembiakan perosak ini amat sukar ditemui kerana ia terletak di dalam tanah di kayu mati, lembab dan hampir reput.  Pada bahagian batang pokok, laluan perosak masuk ini akan diselaputi lapisan tanah yang masih basah.  Kesan daripada serangan ini akan menyebabkan pelepah bahagian bawah menjadi kuning manakala tandan tidak menjadi buah.

Pengawalan serangga perosak ini adalah dengan menggunakan racun seperti chlorpyrifos dengan cara menyiram larutan tersebut pada pangkal batang pokok tersebut.  Sebanyak 1 hingga 3 liter larutan racun pada kadar 0.2% bahan aktif diperlukan pada setiap pokok.  Kawalan ini berkesan pada peringkat awal serangan sahaja.  Pemusnahan sarang pembiakan perosak ini adalah perlu untuk menghentikan serangan kerana ratu anai-anai bertelur dengan kadar yang agak tinggi sehari dalam masa setahun dan ini akan menyebabkan kemusnahan yang teruk di kawasan tanaman tersebut.  Sarang pembiakan perosak ini perlulah dimusnahkan dengan memecahkannya dan menyiram dengan larutan racun chlorpyrifos pada kadar 2 g bahan aktif dalam 1 liter air.

Belalang

Belalang menjadi perosak utama dalam keadaan cuaca yang sesuai di mana populasi perosak ini meningkat.  Serangan perosak ini bermula dengan kerosakan pada tanaman penutup bumi dan kemudiannya memakan daun sawit yang masih muda.

Belalang kunyit (Valanga nigricornis) didapati merosakkan tanaman sawit.  Ia bertelur dalam kelompok di antara 70-100 biji yang ditanam dalam tanah dengan kedalaman 5 mm hingga 8 mm.  Telur ini akan menetas dalam temph dua bulan dan melalui enam peringkat nimpa sebelum menjadi dewasa dalam tempoh 80 hari. 

Kawalan yang berkesan untuk perosak ini adalah dengan menanam kekacang penutup bumi untuk mengurangkan kawasan pembiakannya.  Perosak ini akan bertelur di kawasan yang terbuka dan berpasir.  Sekiranya serangan telah berlaku racun trichlorfon dan chlorpyrifos hendaklah disembur pada daun.  Semasa penyediaan larutan ini, gula boleh juga ditambah di dalam larutan tersebut untuk menarik minat belalang tersebut memakan daun dan seterusnya memakan racun-racun yang telah disembur.

 

Sumbangan: Zulkifli Masijan

Dari: Berita Sawit, Bil 15/2000 muka surat 7 – 9.

 

Filed Under: Berita, Maklumat

Teknik Sanitasi Untuk Mengawal Ganoderma

Pelaksanaan Teknik Sanitasi Untuk Mengawal Ganoderma Sebelum Menamam Semula Sawit

Pengenalan

Penyakit reput pangkal batang (RPB) yang disebabkan oleh kulat Ganoderma didapati meningkat di kawasan tanam semula sawit.  Keadaan ini berpunca daripada sumber jangkitan penyakit RPB yang terdapat pada tunggul dan akar sawit generasi sebelumnya.  Untuk mengawal penyakit ini, penyediaan kawasan penanaman perlu dilakukan dengan teknik yang betul.  

Sehubungan dengan itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memperkenalkan teknik sanitasi tunggul dan akar sawit bagi mengawal jangkitan penyakit RPB di kawasan penanaman semula sawit.

Kesan Sanitasi Tunggul Sawit ke Atas Jangkitan Ganoderma di Kawasan Tanam Semula

Amalan sanitasi dengan menorek tanah dan tunggul pokok tua seluas 1.5 m panjang X 1.5 m lebar X 1.5 m dalam, sebelum menanam semula sawit telah mengurangkan kejadian penyakit RPB ke atas pokok sawit baru.  

Kejadian penyakit RPB adalah kurang daripada 1% di kawasan yang mengamalkan sanitasi berbanding lebih 13% di kawasan yang tidak mengamalkan sanitasi, selepas 10 tahun pokok sawit ditanam.

Berdasarkan penemuan ini, langkah-langkah berikut disyorkan sebelum penanaman semula sawit, terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi untuk diserang Ganoderma:

Langkah 1: Menumbangkan pokok tua 

Rajah 1

 

Langkah 2: Memusnahkan pokok tua dengan meracik batang, tunggul dan gumpalan askar kepada cebisan kecil kemudian menyerakkan secara rata sekata sepanjang barisan tanaman pokok tua dan dibiarkan mereput 

Rajah 2

 

Langkah 3: Mengorek tanah dan tunggul dengan menggali lubang seluas (1.5 m lebar X 1.5 m panjang X 1.5 m dalam) dan ditimbus semula dengan tanah di sekililingya 

Rajah 3

 

Langkah 4: Membajak kawasan di antara barisan pokok tua atau di sepanjang barisan penanaman baru dan diikuti dengan pembajakan putar 

Rajah 4

 

Langkah 5: Menaman pokok baru di sepanjang kawasan bajakan dan jauh daripada barisan pokok sawit tua 

Rajah 5

Kesimpulan 

Tunggul dan akar berpenyakit merupakan sumber jangkitan pokok sawit yang akan ditanam.  Teknik sanitasi yang dijalankan ialah dengan mengorek keluar tanah dan tunggul serta akar pokok sawit tua seluas 1.5 m lebar X 1.5 m panjang X 1.5 m dalam.  

Ini diikuti dengan membajak kawasan di antara pokok tua atau di sepanjang barisan penanaman baru, kemudian dengan pembajakan putar dan menanam pokok baru jauh daripada barisan pokok tua, untuk mengurangkan kejadian penyakit RPB selepas menanam semula sawit.  

Melalui kaedah ini, kejadian penyakit RPB pada sawit tanam semula dapat dikurangkan dengan ketara.

 

Sumbangan: Ismail bin Samingin

Dari: Peladang Sawit, Bil. 28/2004, muka surat 4 – 5.

Filed Under: Berita, Maklumat

Baja Fosfat Yang Sangat Reaktif Adalah Lebih Baik

Baja Fosfat Yang Sangat Reaktif

 

BAJA FOSFAT YANG SANGAT REAKTIF LEBIH BAIK UNTUK PERTUMBUHAN DAN PENGHASILAN SAWIT.

 

Sebuah pusat penyelidikan pertanian terkemuka didalam negara telah menjalankan percubaan diladang sawit diatas tanah siri Bungor dengan menggunakan tiga jenis Fosfat (P) dari punca yang berlainan iaitu Jordanian Rock Phosphate yang sederhana reaktif (medium reactive), Fosfat yang sangat reaktif (highly reactive) dari Amerika Selatan dan Triple Super Phosphate (TSP) serta satu plot kawalan tanpa Fosfat.

 

Hasil kajian yang dibentangkan oleh Ng et al. pada tahun 2010 telah menunjukkan bahawa pokok sawit dari plot yang dibaja dengan fosfat yang sangat reaktif (highly reactive) dari Amerika Selatan memberikan hasil 9% atau bersamaan dengan 1.7 tan/ha/tahun lebih tinggi dari pokok sawit dari plot yang dibaja dengan Jordanian Rock Phosphate, dalam jangka masa 3 tahun.

 

Malahan pertambahan hasil yang lebih tinggi sebanyak 11% atau bersamaan 2.6 tan/ha/tahun ditunjukkan oleh pokok-pokok diplot yang dibaja dengan fosfat dari Amerika Selatan berbanding dengan plot yang ditabur dengan Jordanian Rock Phosphate, pada tahun ketiga penuaian atau tahun ke 5 ditanam.

 

Jadual 1: Hasil BTB (Buah Tandan Baru) Bagi Pokok Berumur 5 Tahun (49 ke 60 bulan) Dengan Sumber Fosfat Yang Berbeza:

Sumber Fosfat
(Kereaktifan)
BTB (tan/ha/tahun)
Bulan 49 hingga ke 60
(Tahun ke 5)
BTB (tan/ha/tahun)
Purata
Bulan 25 hingga ke 60
Tiada22.2 A18.1 A
MRP23.3 AB19.2 A
HRP25.9 B20.9 A
TSP24.9 AB20.1 A

*    Ng.  et al. (2010), p. 11

 

MRP    –    Jordan Rock Phosphate

HRP    –    South America Rock Phosphate

TSP     –    Triple Superphosphate

 

Keputusan diatas menandakan bahawa kita perlu melihat kepada baja fosfat yang sangat reaktif (highly reactive) dari Amerika Selatan sebagai alternatif kepada batuan fosfat yang biasa dan rendah reaktif (low reactive).  

Baja fosfat yang sangat reaktif boleh juga menggantikan baja superphosphates yang lebih mahal kerana ia lebih baik dari segi agronomi dan ekonomi.

 

 

Reference:

Patrick Ng, H. C. , Goh, K. J. , Gan, H. H. , Yacob, S. and Zaharah, A. R. (2010) The Use of Phosphate Rocks For Growing Mucuna Bracteata in Oil Palm Legume Systems To Enhance Sustainability.

Filed Under: Berita, Maklumat

  • 1
  • 2
  • 3
  • Next Page »

HUBUNG KAMI

Union Harvest Sdn. Bhd.
Tel : +603-7957 2122     Fax : +603-7957 2630

Baca Lagi

Copyright © 2025 · created by gen1one.com ·