MPOB F1

Baja Sawit Terbaik

  • Laman Utama
  • Pengenalan
  • Proses Pemadatan
  • MPOB F1
  • MPOB F1 Xtra K
  • Hubung Kami
  • Berita
  • [English]

Panduan Pembajaan Sawit Untuk Pekebun Kecil (2)

baja ditabur di semua kawasan kebun sawit

Rajah 1: Bagi pokok matang, baja ditabur di semua kawasan kebun

 

Sambungan dari artikel,

Panduan Pembajaan Sawit Untuk Pekebun Kecil (1)

 

Jenis dan Kadar Penggunaan Baja

Kerjasama antara MPOB dan syarikat pengeluar baja tempatan telah mengeluarkan dua formulasi baja sebatian yang sesuai digunakan secara umum oleh pekebun kecil yang tidak mendapat kemudahan analisis tanah tanah dan daun.  

Pertama, baja MPOB F1 (10% N, 5.4% P2O5, 16.2% K2O, 2.7% MgO, 0.5% B2O3) untuk kegunaan tanah pedalaman.  Kedua, baja MPOB F2 (10.7% N, 9.1% P2O5, 17.3% K2O, 1.4% MgO, 0.5% B2O3) untuk kegunaan tanah pesisir pantai atau lanar laut.  

Pada masa ini, MPOB masih dalam proses mengenal pasti formulasi dan syarikat untuk mengeluarkan baja MPOB F3 bagi kegunaan tanah gambut.  Sementara menuggu MPOB F3, pekebun kecil di tanah gambut disyor untuk menggunakan baja MPOB F1 dengan tambahan baja tunggal.  

Kadar penggunaan baja berkenaan untuk tanah pedalaman, lanar laut dan gambut adalah seperti di Jadual 1.

 

Kekerapan Membaja

Bergantung pada umur pokok, kekerapan membaja adalah tiga kali setahun semasa pokok berumur antara satu hingga empat tahun dan dua kali setahun selepas pokok berumur lebih daripada empat tahun.

 

Perletakan Baja

Penempatan baja yang berkesan bergantung pada umur pokok dan topografi tanah.  Ini kerana pada prinsipnya baja perlu ditabur di kawasan di mana terdapat akar pemakanan yang banyak dan aktif.  

Pokok sawit berumur dua tahun ke bawah, akar pemakanan berada di dalam lingkungan 2 m daripada pangkal pokok.  Manakala pokok yang berumur tiga hingga lima tahun, akar pemakanan berada dalam lingkungan 4 m dari pangkal pokok.  

Oleh yang demikian, bermula dari selepas menanam sehingga pokok sawit berumur satu tahun, baja hendaklah ditabur di bawah kanopi daun.  Bagi pokok sawit yang berumur antara satu hingga dua tahun, baja ditabur di dalam lingkungan 1.5 – 2.5 m dari pangkal pokok.  

Manakala, bagi pokok berumur antara tiga hingga lima tahun baja ditabur dalam lingkungan antara 1.5 m hingga 4.0 m dari pangkal pokok.  Syor di atas adalah bagi pokok sawit yang ditanam di tanah rata dan di atas teres.  

Bagi pokok matang melebihi umur lima tahun, pertumbuhan akar pemakanan telah berada di seluruh kawasan terutama di dalam kawasan perletakan pelepah (Rajah 1).  Untuk kawasan tanah rata ke beralun, tabur lebih banyak baja di sepanjang perletakan pelepah dan sedikit di keliling kanopi daun.  

Bagi sawit yang ditanam di atas teres, baja boleh terus diletak di keliling pokok dan sepanjang teres bagi mengelakkan kehilangan baja melalui hakisan.  

tabur baja di  perletakan pelepah

Tabur baja di kawasan perletakan pelepah

 

Dalam keadaan di mana pokok sawit matang berada di atas tapak tanaman (platform) yang kecil atau teres yang kurang lebar dan sudah terhakis, pekebun kecil boleh menanam baja dengan kedalaman 121 – 182 cm di beberapa tempat di keliling kanopi daun.  Alternatif ini adalah lebih baik sekiranya baja ditabur sahaja kerana lebih terdedah kepada hakisan.  

Walau bagaimanapun, bagi pokok sawit belum matang, kaedah pembajaan yang berkesan ialah menabur baja di bawah kanopi daun.  

 

Masa dan Persediaan Sebelum Membaja  

Masa yang sesuai untuk membaja adalah pada musim sederhana lembap.  Musim terlalu kering (kemarau) tidak sesuai kerana baja memerlukan air untuk terurai sebelum ia diserap oleh pokok melalui akar.  

Musim yang terlalu basah (hujan) juga kurang sesuai kerana banyak baja akan hilang dilarikan air terutama di kawasan cerun atau melalui larut resap di kawasan tanah rata yang mempunyai kandungan pasir yang tinggi.  

Kawasan yang hendak ditabur baja hendaklah terlebih dahulu dibersihkan dari semua rumpai kerana rumpai akan bersaing untuk mendapatkan baja dengan pokok sawit.  

 

Kesimpulan  

Pembajaan yang berkesan merupakan salah satu faktor penting untuk meningkatkan hasil sawit.  Sekiranya pembajaan dijalankan dengan sempurna dan menggunakan baja yang berkualiti dan seimbang dengan pengurusan ladang yang baik, hasil ladang yang telah sedia tinggi boleh terus dikekalkan dan hasil yang rendah boleh dipertingkatkan.  

Oleh kerana kos baja pada masa ini agak mahal, pekebun kecil mesti menggunakan baja dengan berhemah melalui pemilihan jenis baja yang sesuai, penggunaan kadar, kekerapan dan perletakan baja yang betul serta menggunakan bahan organik yang terdapat secara percuma atau murah dari kilang sawit untuk pembaikan semula tanah.

Sumbangan: Idris bin Omar; Ahmad Tarmizi bin Muhammad dan Zin Zawawi bin Zakaria.

Dari: Peladang Sawit, Bil. 32/2006, Muka surat 4-7.

Filed Under: Berita, Maklumat

Panduan Pembajaan Sawit Untuk Pekebun Kecil (1)

tabur baja di kebun sawit

 

Pendahuluan

Panduan pembajaan sawit ini bertujuan untuk membantu pekebun kecil memilih jenis baja yang sesuai, kadar baja yang optimum, perletakan baja yang berkesan, masa dan kekerapan yang tepat.  

Dengan maklumat ini, pekebun kecil diharap akan dapat menggunakan baja dengan optimum dan lebih berkesan lagi dengan peningkatan hasil yang maksimum.  Ini memandangkan terdapat pelbagai jenis baja di pasaran yang boleh mengelirukan dan kurang berkesan.  

 

Baja Kimia

Baja kimia lazimnya mengandungi nutrien pokok yang tinggi dan boleh didapati di dalam tiga bentuk iaitu baja tunggal, campuran dan sebatian.  

Baja tunggal mengandungi satu unsur utama sahaja, manakala baja campuran dan sebatian mengandungi lebih daripada satu unsur utama.  

Baja campuran dibuat dengan mencampurkan beberapa jenis tunggal secara fizikal.  

Baja sebatian pula dibuat dengan menggabungkan beberapa unsur melalui proses basah secara kimia (contoh MPOB F2) atau proses kering menggunakan tekanan tinggi (contoh MPOB F1).

Pemilihan sesuatu jenis baja campuran atau sebatian bergantung pada sifat tanah dan sifat sesuatu baja berkenaan.  Contoh, tanah pedalaman mengandungi liat dan bahan organik yang sederhana, maka penggunaan nitrogen berasaskan ammonium sulfat atau klorida lebih sesuai kerana kurang meruap tetapi asidik.  

Sebaliknya, untuk tanah gambut yang mengandungi bahan organik yang tinggi, nitrogen berasaskan urea lebih sesuai kerana mudah meruap tetapi kurang asidik.  Oleh itu, apabila membeli baja adalah penting untuk bertanya sumber asas nitrogen yang digunakan.

Apabila merancang untuk menggunakan baja kimia adalah penting untuk meneliti ciri-ciri fizikalnya terlebih dahulu.  Ciri-ciri fizikal baja kimia yang baik ialah keadaan kering dan mudah ditabur.  

Sebaliknya, seperti baja campuran, ia mudah menjadi lembap, basah dan seterusnya keras apabila disimpan terlalu lama.  Ini kerana baja fosfat dan kieserite apabila dicampur dengan baja ammonium sulfat atau urea akan bertindak balas.  Campuran tersebut menjadi lembap / berair dan kemudian keras.

Oleh itu, baja campuran hendaklah digunakan dengan segera.  Beg baja campuran juga perlu digoncang terlebih dahulu sebelum dibuka untuk mengurangkan pengasingan unsur nutrien yang terjadi disebabkan oleh saiz, bentuk dan ketumpatan partikel baja yang berbeza.

Secara umum, harga baja tunggal per unit nutrien adalah lebih murah berbanding baja campuran dan sebatian tetapi memerlukan kos buruh yang lebih untuk menabur setiap jenis baja.  

Bagi mencapai matlamat membekalkan baja seimbang dengan kos yang berpatutan adalah lebih praktikal pekebun kecil menggunakan baja campuran (dengan syarat baja tidak lembap dan keras) atau baja sebatian untuk pembajaan tahunan dan menggunakan baja tunggal dari semasa ke semasa bagi mengatasi kekurangan nutrien yang khususnya sekiranya berlaku.

Sumbangan: Idris bin Omar; Ahmad Tarmizi bin Muhammad dan Zin Zawawi bin Zakaria.

Dari: Peladang Sawit, Bil. 32/2006, Muka surat 4.

Filed Under: Berita, Maklumat

Maklumat Mengenai Nutrien Sulfur

Fungsi-fungsi utama sulfur di dalam tumbuhan adalah:

  1. Pembentukan protein melalui asid amino (sistin, metionin dan glutamin) yang mana tidak boleh disintesis apabila bekalan sulfur tumbuhan kekurangan.
  2. Pembentukan bahan berwarna hijau di dalam tumbuhan (klorofil), yang membolehkan penghasilan kanji dan gula di dalam daun melalui penggunaan tenaga suria dan matahari (fotosintesis).
  3. Meningkatkan mutu tumbuhan seperti kandungan minyak dan warna sayuran.
  4. Meningkatkan nilai zat pemakanan bagi tanaman makanan ternakan.

 

Penyerapan Ammonium Sulfat Oleh Tanaman

 

Sebab-sebab Kekurangan Sulfur:

  1. Kehabisan simpanan sulfur tanah yang disebabkan oleh pengambilan sulfur yang tinggi untuk penghasilan tanaman yang tinggi.
  2. Perubahan dari baja nitrogen dan magnesium yang mengandungi sulfur seperti Ammonium Sulfat dan Kieserite (Magnesium Sulfat) kepada gred baja N dan MgO lain yang tidak mengandungi sulfur seperti Urea, Ammonium Nitrat dan batu kapur (GML).
  3. Peningkatan larut resap disebabkan oleh pertambahan kemudahan sistem pengairan.Kekurangan sulfur dalam atmosfera menerusi penurunan pembebasan SO2 dari kawasan perindustrian dan kenderaan.

 

Ringkasan Kitaran Sulfur

 

Pokok sawit menyerap nitrogen dalam bentuk nitrat.  Ammonium sulfat yang digunakan ditukar ke bentuk nitrat N melalui  tindakan bakteria tanah menjadi tersedia untuk pokok-pokok sawit.  Di sinilah sebabnya mengapa Ammonium Sulfat dan Kieserite (magnesium sulfat) digunakan akan menghasilkan keputusan yang baik, terutama di kawasan bukit.

Penyelidik menyedari bahawa apa yang dikatakan sebagai kekurangan nitrogen sebenarnya adalah keadaan kekurangan sulfur.  Tanda-tanda kekurangnya adalah hampir sama, perbezaan utama di antara kedua-duanya adalah daun muda akan kelihatan kuning jika kekurangan sulfur terjadi disebabkan sulfur tidak bergerak di dalam tumbuhan.  Jika kekurangan sulfur belaku dan hanya nitrogen yang dibekalkan, ini akan memburukkan lagi keadaan dengan peningkatan nisbah N:S yang tidak seimbang.

 

Kesan Kekurangan Nutrien Sulfur

 

Baja Sawit MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K adalah baja sebatian seimbang yang memenuhi keperluan ini untuk meningkatkan hasil buah sawit.  Pekebun-pekebun seperti Abdul Wahab Ismail, Tew Han Kiong dan Mat Roslan Abdullah boleh mencapai hasil melebihi 30 tan/perhektar/setahun dengan menggunakan Baja Sawit MPOB F1.  

Filed Under: Berita, Maklumat

Nutrien Baja Yang Dilupai – Sulfur

Sulfur merupakan salah satu daripada lima nutrien asas yang penting untuk pertumbuhan tumbuhan.  Amalan pembajaan tanaman patut selalu menyediakan jumlah sulfur yang mencukupi.  Di mana terdapat kekurangan sulfur, pembajaan dengan sulfur boleh meningkatkan hasil tanaman sebanyak 10 – 50%.  Kekurangan sulfur adalah lebih meluas berbanding dengan yang dinyatakan tetapi boleh diperbaiki dengan baja ammonium sulfat atau kieserite (magnesium sulfat).

 

Ammonium sulfat adalah baja sulfur yang ekonomik yang mengandungi 21% N dan 24% S.  Kieserite (magnesium sulfat) adalah baja yang mengandungi 27% MgO dan 22% S.  Dua jenis baja ini boleh digunakan sebagai baja tunggal ataupun digunakan sebagai bahan mentah dalam baja sebatian atau baja campur.

 

Keseimbangan nutrien adalah kunci pengeluaran tanaman pertanian yang menguntungkan.  Keseimbangan nutrien bermakna menyuburkan tanaman dengan khasiat tumbuhan yang diperlukan untuk mengekalkan tahap pengeluaran terutamanya nitrogen, fosforus, kalium, sulfur, magnesium, unsur mikro dan sekundur.

 

Baja Sawit MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K memenuhi keperluan ini untuk meningkatkan hasil buah sawit.  Pekebun-pekebun seperti Abdul Wahab Ismail, Tew Han Kiong dan Mat Roslan Abdullah boleh mencapai hasil melebihi 30 tan/perhektar/setahun dengan menggunakan Baja Sawit MPOB F1.  

Filed Under: Berita, Maklumat

Kejayaan Pekebun Kecil Sawit, Kejayaan MPOB

pekebun kecil cemerlang di bera

Encik Mat Roslan di kebun sawit milik beliau

 

“Hendak Seribu Daya”.  Begitulah falsafah atau petua hidup Peladang Jaya kali ini iaitu Encik Mat Roslan Abdullah dalam menempuh kehidupan sebagai seorang petani.  Beliau berusia 39 tahun, telah berumah tangga dan mempunyai empat orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Puan Anita Ab Aziz.  Ibu bapanya yang berasal dari Kelantan telah merantau ke negeri Pahang pada tahun 1960-an untuk mencuba nasib bagi meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.  Encik Mat Roslan dilahirkan di Pahang dan kini menetap di Kampung Padang Luas, Bera.

 

Beliau mula berjinak dalam bidang pertanian setelah mengikut bapanya mengusahakan kebun getah dan dusun sejak di bangku sekolah.  Setelah tamat tingkatan lima, Encik Mat Roslan menumpukan sepenuh masa dalam bidang pertanian.

 

Bermula dengan kebun yang diperoleh melalui bapa Encik Mat Roslan iaitu dengan pemindahan milik tanah pusaka, beliau mula mengusahakan tanaman sawit seluas 3.6 ha yang terletak di Bukit Gemuruh, Bandar Bera, Pahang pada tahun 1998.  Sumber anak benih diperoleh daripada tapak semaian lading LKPP Kertau, Maran.  Biji benih DxP dibekalkan oleh Pusat Penyelidakan Tun Abd. Razak, Pahang.  Jarak tanaman sawit yang digunakan adalah 30’ x 30’ x 30’.

 

Kebanyakan kerja pengurusan ladang seperti membaja, merumpai dan menuai hasil dilakukan oleh beliau sendiri.  Sekiranya beliau tidak berkesempatan atau sibuk dengan urusan perniagaan, maka beliau akan mengupah pekerja bagi melakukan kerja tersebut.

 

Pada tahun 2004, Encik Mat Roslan telah berjumpa dengan pegawai TUNAS Kawasan Bera, meminta tunjuk ajar tentang kaedah yang betul dalam menguruskan ladang dan merekod aktiviti ladang sawit.  Jenis baja kimia yang digunakan oleh beliau sekarang adalah baja sawit MPOB F1, yang ditabur secara serakan sebanyak 2.5 kg untuk setiap pokok dengan kekerapan sebanyak tiga kali setahun.  Sebelum ini, baja yang digunakan di kebun tersebut adalah bercampur-campur.  Selain itu, Encik Mat Roslan juga banyak belajar dari pengalaman rakan-rakan yang telah berjaya.

 

Kerja merumpai dilakukan dua kali setahun, memandangkan pokok sawit telah berumur 10 tahun dan daun sawit telah menutupi seluruh kawasan.  Kerja merumpai hanya tertumpu kepada anak-anak kayu liar sahaja.

pekebun kecil cemerlang

Kerja merumpai dijalankan secara berjadual dan hanya anak-anak kayu liar sahaja yang dirumpai bagi mengelakkan saingan baja.

 

Encik Mat Roslan sentiasa memastikan kebun sawit diurus sempurna berpandukan amalan pengurusan pertanian yang baik seperti membaja mengikut kadar yang betul.  Kawalan perosak dan penyakit dilakukan terutama apabila terdapat tanda pokok sawit bermasalah.  Pusingan penuaian yang diamalkan ialah 14 hari sepusingan bagi memastikan penuaian buah sawit yang cukup masak.

 

Akitiviti pemangkasan pelepah pula dilakukan semasa kerja menuai buah sawit.  Amalan pemangkasan ini dilakukan mengikut nasihat pegawai TUNAS.  Pelepah yang dipangkas, disusun kemas di lorong pelepah bagi memastikan kerja penuaian dan penyelenggaraan kebun dapat dilakukan dengan lancar.

 

Topografi kebun beliau yang rata dan sedikit beralun memudahkan kerja membaja, menuai dan mengeluarkan hasil.  Beliau menggunakan jalan kampung yang sedia ada dan lori sendiri untuk mengangkut hasil buah tandan segar.  Hasil sawit beliau dijual kepada peraih yang berdekatan.

 

Rekod hasil Encik Mat Roslan yang tertinggi adalah pada tahun 2007, iaitu sebanyak 33.86 t/ha dan beliau telah diberi Anugerah Pekebun Kecil Cemerlang peringkat Semenanjung Malaysia, yang disampaikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, pada 6 Februari 2008 yang lalu.

 

Terdapat beberapa anugerah lain yang pernah diterima oleh beliau. Antaranya, Anugerah Peladang Jaya Tanaman Integrasi (pisang) dengan getah yang diberikan olen Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2005 dan Anugerah Pekebun Kecil Cemerlang peringkat negeri Pahang tahun 2007 serta Johan Generasi Kedua Terbaik.

 

Anugerah yang diterima membuatkan Encik Mat Roslan lebih bersemangat lagi dalam menjayakan apa yang telah beliau usahakan.  Ekoran daripada pendapatan lumayan yang telah diperoleh daripada hasil pertanian, keluasan kebun sawit beliau kini telah bertambah kepada 5 ha.  Tanaman sawit beliau telah berumur empat tahun dan mengeluarkan hasil.  Beliau juga telah membeli sebidang tanah untuk diusahakan dengan tanaman sawit seluas 16 ha.  Ini belum termasuk tanah getah dan dusun yang diturut diusahakan oleh beliau.

 

Mengakhiri perbualan, beliau menghargai usaha MPOB dengan mewujudkan pegawai TUNAS kawasan bagi mendidik pekebun kecil sawit yang kurang berpengalaman dan ilmu dalam bidang tersebut.  Program pemindahan teknologi sawit perlu diteruskan, memandangkan industri sawit merupakan hasil utama negara dan mempunyai harga tinggi di pasaran.

 

Sumbagan: Nursuhana Dahari dan Azlan Azimat

 

Dari: Warta Sawit, Bil. 38/2008, Muka surat 18-19.

Filed Under: Berita, Cerita Kejayaan

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • Next Page »

HUBUNG KAMI

Union Harvest Sdn. Bhd.
Tel : +603-7957 2122     Fax : +603-7957 2630

Baca Lagi

Copyright © 2021 · created by gen1one.com ·