“Rezeki tidak datang bergolek, perlu gigih berusaha”. Inilah kata-kata semangat yang menjadi pegangan dan prinsip hidup Peladang Jaya kali ini. Beliau yang dimaksudkan iaitu En Mohd Nasir Omar yang berumur 38 tahun dan menetap di Kg Sarang Tiong, Kuala Rompin, Pahang.
Hasil buah tandan segar (BTS) tertinggi yang pernah dicatatkan beliau adalah 28 t/ha/thn pada 2012. Dengan hanya mengusahakan kebun seluas 1.2 ha pada 2005, kini beliau boleh berbangga dengan penambahan keluasan kebun sawit yang mencapai 6.2 ha. Jenis tanah di kasawan kebunnya adalah tanah pedalaman dengan bentuk topograpfi rata. Bahan tanaman yang digunakan adalah D X P dengan jarak tanaman 8.8 m x 8.8 m x 8.8 m (sistem segi tiga), dengan jumlah pokok 148 pk/ha. Sumber anak benih sawit pula diperoleh dari tapak semaian YP Plantation.
Sebelum terlibat dengan penanaman sawit, En Mohd Nasir merupakan seorang pesawah. Beliau mengusahakan tanaman padi sejak tahun 1990 dengan keluasan tanaman 1.2 ha dan kini bertambah kepada 3.6 ha hasil usaha kerasnya. Selain itu, En Mohd Nasir juga turut mengusahakan tanaman padi seluas 14.4 ha yang dipajak daripada penduduk sekitar. Beliau juga mempunyai sebuah traktor sendiri yang digunakan untuk membajak tanah sawah. Traktor ini juga turut digunakan untuk menarik treler bagi mengangkut BTS keluar dari ladang dan dijual kepada peraih terdekat.
Beliau mula berminat untuk menanam sawit sejak 2005. Ini disebabkan tanah dibiar di sebelah tanah sawah beliau yang tidak dapat di usahakan dengan tanaman padi kerana masalah pengairan. Penyediaan kebun untuk tanaman sawit pada peringkat awal diuruskan menggunakan modal sendiri. Setelah mendapat khidmat nasihat daripada Pegawai TUNAS Kawasan, En Mohd Nasir telah menggunakan baja sebatian yang seimbang untuk kebun sawit beliau.
Beliau menggunakan baja sebatian MPOB F1 dengan kadar 9 kg/pk/thn dengan kekerapan pusingan tiga kali setahun. Kerja penyelenggaraan kebun seperti meracun dan membaja dilakukan sendiri. Jika tidak berkesempatan, beliau akan mengupah penduduk di kawasan sekitar untuk menuai buah sawitnya. Selain itu, En Mohd Nasir juga telah membeli sebuah lori untuk mengangkut BTS, hasil padi dan input pertanian seperti baja dan racun. Lori ini turut disewakan kepada penduduk setempat untuk mengangkut anak benih sawit.
Sejak 2012 juga, En Mohd Nasir menjalankan ternakan lembu dan kambing yang diintegrasikan dengan sawit bagi memaksimumkan penggunaan tanah di kebun miliknya. Selain menjana pendapatan sampingan, kos merumpai juga turut dapat dikurangkan. Jumlah ternakan yang dimilikinya kini adalah enam ekor lembu dan lapan ekor kambing. Selain itu, beliau turut mempunyai kemahiran dalam bidang kimpalan dan treler yang digunakannya adalah ciptaan sendiri.
Meskipun banyak masanya dihabiskan sebagai petani, En Mohd Nasir juga bergerak aktif dengan aktiviti kemasyarakatan. Antara jawatan yang disandang ialah Ketua Biro Kebudayaan Belia dan Sukan, AJK Kg Sarang Tiong, Penyelia Projek Mini Estet Padi dalam aktiviti PPK Rompin, Setiausaha Persatuan Belia Garong Perkasa dan juga Naib Pengerusi Tabika KEMAS Kg Sarang Tiong.
Di samping itu, bagi menambah ilmu dalam bidang pertanian, beliau turut menyertai kursus/program yang dianjurkan oleh jabatan/agensi kerajaan lain seperti Kursus Penggredan BTS, Kursus Pengurusan Tanaman Padi, Kursus Ternakan Ruminan dan Kursus Pendek Ternakan Ruminan dan Kursus Pendek Ternakan Cacing dan Tanaman Cili Kaedah Fertigasi.
Pada masa hadapan, En Mohd Nasir bercadang untuk menambah keluasan tanah bagi tanaman sawit dan padi dan mengusahakannya sehingga berjaya. Beliau amat menghargai usaha MPOB membantu pekebun kecil sawit meningkatkan ilmu dan pengetahuan mengenai amalan pertanian baik (GAP) sawit. Beliau berharap agar Pusat TUNAS dapat meneruskan usaha membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit yang secara tidak langsung turut meningkatkan ekonomi negara.
Sumbangan: Mohd Haidjar Abdul Hamid (mohd.haidhar@mpob.gov.my) Hasnurol Jalil (hasnurol@mpob.gov.my)
Dari: Warta Sawit, Bil 57 (2)/ Mei – Ogos 2014, muka surat 23-24.