Kejayaan Hari Ini Hasil Usaha Gigih Masa Lalu
Hj A Damit Mohd atau lebih sinonim dengan panggilan Hj Husin merupakan anak jati Kampung Darat, Menumbok, Sabah. Beliau berusia 48 tahun dan hasil perkongsian hidup bersama Hjh Latipah Mat Jaki, pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata.
Beliau memulakan alam persekolahan di SK Menumbok dan seterusnya ke sekolah menengah di SMK Menumbok sehingga peringkat Sijil Rendah Pelajaran. Setelah tamat tingkatan 3, beliau tidak berhasrat untuk meneruskan pelajaran kerana lebih berminat menjalankan perusahaan bot penambang dari Menumbok ke Pulau Labuan. Selang beberapa tahun menceburi bidang tersebut, beliau merantau ke Brunei Darussalam untuk menimba pengalaman baru.
Sekembalinya dari perantauan, beliau akhirnya menceburkan di dalam bidang pertanian khususnya penanaman sawit.
Penglibatan Hj Husin dalam bidang pertanian bermula pada 1997 selepas beliau mengusahakan tanaman sawit seluas 5.67 ha di Kg Asam Jawa, Menumbok. Sumber anak benih diperoleh daripada Jabatan Pertanian Ulu Dusun, Sandakan, Sabah.
Beliau menanam sawit dengan jarak tanaman yang disyorkan iaitu 9.1 m X 9.1 m X 9.1 m atau dengan kepadatan 136 pk/ha. Kerja pengurusan ladang seperti membaja, menuai hasil BTS dan merumput dilakukan oleh tiga orang pekerja luar yang diupah secara harian.
Sepanjang menjalankan projek tanaman sawit, beliau banyak mendapatkan khidmat nasihat daripada Pusat TUNAS. Selain itu, beliau kerap menimba pengalaman daripada rakan lain yang telah berjaya. Hj Husin tidak jemu mendapatkan khidmat nasihat daripada Pegawai TUNAS kawasan Beaufort, Sabah tentang kaedah dalam menguruskan ladang dan merekodkan aktiviti ladang yang terbaik.
Baja yang digunakan adalah baja campuran dan baja MPOB F1, yang ditabur secara serakan terutama di kawasan susunan pelepah dengan kadar 9 kg/pokok/tahun. Pembajaan juga dilakukan tiga kali setahun. Sebelum ini, kekerapan pembajaan dilakukan tidak menentu iaitu sekali setahun dan ada kalanya pembajaan langsung tidak dilakukan.
Pusingan menuai yang diamalkan ialah antara 10-14 hari setiap pusingan dan bagi memastikan kualiti BTS, penuaian hanya dilakukan ke atas BTS yang cukup masak sahaja iaitu berdasarkan sebiji biji relai di atas tanah. BTS yang dituai dihantar ke kilang sawit dalam masa 24 jam selepas menuai. Penghantaran BTS dilakukan dengan menggunakan lori sendiri terus ke kilang berdekatan.
Hasil BTS kebun Hj Husin pada 2009 adalah sebanyak 28.22 t/ha/tahun. Purata hasil jualan yang diperoleh adalah sekitar RM25,000 sebulan. Keluasan kebun sawit beliau kini telah bertambah kepada 22 ha iaitu seluas 5.67 ha berumur 13 tahun manakala 16.17 ha berumur 5 tahun. Kedua-dua kawasan ini telah mengeluarkan hasil.
Aktiviti pemangkasan pelepah pula dilakukan semasa kerja menuai buah sawit. Pelepah yang dipangkas, disusun di lorong pelepah bagi memastikan kerja penuaian dan menyelenggaraan kebun dapat dilakukan dengan lancar. Hj Husin juga sentiasa memastikan kebunnya diurus dengan baik. Kerja merumput dilakukan dua kali setahun memandangkan pokok sawit mencapai umur 13 tahun dan daun sawit telah menutupi seluruh kawasan.
Kawalan rumpai secara biologi turut dilaksanakan dengan mengusahakan ternakan lembu sebanyak 13 ekor dan kambing sebanyak 170 ekor. Ternakan kambing dijalankan secara feedlot dan juga dilepaskan di ladang. Usaha gigih beliau mengamalkan integrasi sawit dengan kambing telah diiktiraf oleh Jabatan Haiwan Sabah yang menobatkan beliau sebagai Penternak Jaya Sabah 2006.
Selain mengusahakan kebun sawit, Hj Husin turut mengusahakan pengankutan laut ke Pulau Labuan di mana beliau mempunyai sembilan buah bot laju untuk mengangkut penumpang dari Menumbok ke Pulau Labuan.
Hj Husin amat berterima kasih dan menghargai usaha MPOB mewujudkan Pejabat Pusat TUNAS di beberapa daerah dan kepada pegawai Tunas Kawasan yang banyak membantu dan mendidik pekebun kecil sawit yang kurang berpengetahuan dalam bidang pengurusan sawit. Menurut beliau, program dan aktiviti TUNAS perlu diteruskan pada masa akan datang agar dapat melahirkan lebih ramai pekebun kecil sawit yang berjaya.
Sumbangan: Mohd Hairi Jati – PPTZ dan Zainih Bukhari – PTK
Dari: Warta Sawit, 47/2011, mukasurat 21-22.

