MPOB F1

Baja Sawit Terbaik

  • Laman Utama
  • Pengenalan
  • Proses Pemadatan
  • MPOB F1
  • MPOB F1 Xtra K
  • Hubung Kami
  • Berita
  • [English]

Kejayaan Pekebun Kecil Sawit, Kejayaan MPOB

pekebun kecil cemerlang di bera

Encik Mat Roslan di kebun sawit milik beliau

 

“Hendak Seribu Daya”.  Begitulah falsafah atau petua hidup Peladang Jaya kali ini iaitu Encik Mat Roslan Abdullah dalam menempuh kehidupan sebagai seorang petani.  Beliau berusia 39 tahun, telah berumah tangga dan mempunyai empat orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Puan Anita Ab Aziz.  Ibu bapanya yang berasal dari Kelantan telah merantau ke negeri Pahang pada tahun 1960-an untuk mencuba nasib bagi meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.  Encik Mat Roslan dilahirkan di Pahang dan kini menetap di Kampung Padang Luas, Bera.

 

Beliau mula berjinak dalam bidang pertanian setelah mengikut bapanya mengusahakan kebun getah dan dusun sejak di bangku sekolah.  Setelah tamat tingkatan lima, Encik Mat Roslan menumpukan sepenuh masa dalam bidang pertanian.

 

Bermula dengan kebun yang diperoleh melalui bapa Encik Mat Roslan iaitu dengan pemindahan milik tanah pusaka, beliau mula mengusahakan tanaman sawit seluas 3.6 ha yang terletak di Bukit Gemuruh, Bandar Bera, Pahang pada tahun 1998.  Sumber anak benih diperoleh daripada tapak semaian lading LKPP Kertau, Maran.  Biji benih DxP dibekalkan oleh Pusat Penyelidakan Tun Abd. Razak, Pahang.  Jarak tanaman sawit yang digunakan adalah 30’ x 30’ x 30’.

 

Kebanyakan kerja pengurusan ladang seperti membaja, merumpai dan menuai hasil dilakukan oleh beliau sendiri.  Sekiranya beliau tidak berkesempatan atau sibuk dengan urusan perniagaan, maka beliau akan mengupah pekerja bagi melakukan kerja tersebut.

 

Pada tahun 2004, Encik Mat Roslan telah berjumpa dengan pegawai TUNAS Kawasan Bera, meminta tunjuk ajar tentang kaedah yang betul dalam menguruskan ladang dan merekod aktiviti ladang sawit.  Jenis baja kimia yang digunakan oleh beliau sekarang adalah baja sawit MPOB F1, yang ditabur secara serakan sebanyak 2.5 kg untuk setiap pokok dengan kekerapan sebanyak tiga kali setahun.  Sebelum ini, baja yang digunakan di kebun tersebut adalah bercampur-campur.  Selain itu, Encik Mat Roslan juga banyak belajar dari pengalaman rakan-rakan yang telah berjaya.

 

Kerja merumpai dilakukan dua kali setahun, memandangkan pokok sawit telah berumur 10 tahun dan daun sawit telah menutupi seluruh kawasan.  Kerja merumpai hanya tertumpu kepada anak-anak kayu liar sahaja.

pekebun kecil cemerlang

Kerja merumpai dijalankan secara berjadual dan hanya anak-anak kayu liar sahaja yang dirumpai bagi mengelakkan saingan baja.

 

Encik Mat Roslan sentiasa memastikan kebun sawit diurus sempurna berpandukan amalan pengurusan pertanian yang baik seperti membaja mengikut kadar yang betul.  Kawalan perosak dan penyakit dilakukan terutama apabila terdapat tanda pokok sawit bermasalah.  Pusingan penuaian yang diamalkan ialah 14 hari sepusingan bagi memastikan penuaian buah sawit yang cukup masak.

 

Akitiviti pemangkasan pelepah pula dilakukan semasa kerja menuai buah sawit.  Amalan pemangkasan ini dilakukan mengikut nasihat pegawai TUNAS.  Pelepah yang dipangkas, disusun kemas di lorong pelepah bagi memastikan kerja penuaian dan penyelenggaraan kebun dapat dilakukan dengan lancar.

 

Topografi kebun beliau yang rata dan sedikit beralun memudahkan kerja membaja, menuai dan mengeluarkan hasil.  Beliau menggunakan jalan kampung yang sedia ada dan lori sendiri untuk mengangkut hasil buah tandan segar.  Hasil sawit beliau dijual kepada peraih yang berdekatan.

 

Rekod hasil Encik Mat Roslan yang tertinggi adalah pada tahun 2007, iaitu sebanyak 33.86 t/ha dan beliau telah diberi Anugerah Pekebun Kecil Cemerlang peringkat Semenanjung Malaysia, yang disampaikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, pada 6 Februari 2008 yang lalu.

 

Terdapat beberapa anugerah lain yang pernah diterima oleh beliau. Antaranya, Anugerah Peladang Jaya Tanaman Integrasi (pisang) dengan getah yang diberikan olen Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2005 dan Anugerah Pekebun Kecil Cemerlang peringkat negeri Pahang tahun 2007 serta Johan Generasi Kedua Terbaik.

 

Anugerah yang diterima membuatkan Encik Mat Roslan lebih bersemangat lagi dalam menjayakan apa yang telah beliau usahakan.  Ekoran daripada pendapatan lumayan yang telah diperoleh daripada hasil pertanian, keluasan kebun sawit beliau kini telah bertambah kepada 5 ha.  Tanaman sawit beliau telah berumur empat tahun dan mengeluarkan hasil.  Beliau juga telah membeli sebidang tanah untuk diusahakan dengan tanaman sawit seluas 16 ha.  Ini belum termasuk tanah getah dan dusun yang diturut diusahakan oleh beliau.

 

Mengakhiri perbualan, beliau menghargai usaha MPOB dengan mewujudkan pegawai TUNAS kawasan bagi mendidik pekebun kecil sawit yang kurang berpengalaman dan ilmu dalam bidang tersebut.  Program pemindahan teknologi sawit perlu diteruskan, memandangkan industri sawit merupakan hasil utama negara dan mempunyai harga tinggi di pasaran.

 

Sumbagan: Nursuhana Dahari dan Azlan Azimat

 

Dari: Warta Sawit, Bil. 38/2008, Muka surat 18-19.

Filed Under: Berita, Cerita Kejayaan

HUBUNG KAMI

Union Harvest Sdn. Bhd.
Tel : +603-7957 2122     Fax : +603-7957 2630

Baca Lagi

Copyright © 2026 · created by gen1one.com ·