
Rajah 1: En. Tew Han Kiong di pejabatnya.
Peladang Jaya: Jangan Cepat Berputus Asa
Edisi Peladang Jaya kali ini menampilkan seorang peladang yang berpegang pada falsafah hidup ‘Jangan Cepat Berputus Asa’. Peladang yang dimaksudkan ialah En. Tew Han Kiong, 40 tahun yang menetap di Kg Parit Khalid, Tg. Sembrong Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Hasil perkongsian hidup bersama isteri, Pn. Lee Pei Ling, seorang suri rumah sepenuh masa, beliau telah dikurniakan tiga orang cahaya mata yang kesemuanya adalah perempuan.
En. Tew Han Kiong mengusahakan tanaman sawit seluas 1.4 ha. Jenis tanah di kawasan kebun beliau adalah jenis lanar sungai. Beliau menanam sawit dengan menggunakan bahan tanaman dura x pisifera (DXP) dengan jarak tanaman 9m x 9m x 9m (system segi tiga) dengan jumlah pokok sebanyak 148 pk/ ha. Sumber anak benih sawit ini diperoleh dari Guthrie. Penyedian tanaman sawit pada peringkat awal diuruskan sepenuhnya menggunakan modal sendiri.
En. Tew Han Kiong telah mula menjadi pekebun kecil sawit sepenuh masa sejak berusia 20 tahun. Beliau merupakan Ahli Kelab 30 Tan MPOB sejak akhir tahun 2008. Berpandukan kepada nasihat pegawai TUNAS, beliau telah mempraktikkan amalan pengurusan ladang yang baik di kebun sawit beliau. Antaranya adalah menyimpan rekod ladang, mempraktikkan amalan pembajaan yang seimbang (MPOB F1, 4 kali setahun, 8 kg/pk/thn), membuat pemangkasan mengikut syor yang ditetapkan iaitu setahun sekali dan setiap kali penuaian, dan menuai setiap 15 hari sekali.
Rekod hasil tertinggi yang diperoleh En. Tew Han Kiong adalah pada 2009 iaitu sebanyak 36 t/ha/thn. Dalam aspek penyelenggaran kebun, En. Tew Han Kiong mengupah buruh sambilan bagi menguruskan kebunnya selain dibantu oleh rakan baik beliau.
En. Tew Han Kiong juga menjalankan integrasi ternakan kambing dengan sawit bagi menjana pendapatan sampingan selain dapat menjimatkan kos merumpai. Beliau menternak baka kambing Boer yang diterima di bawah Skim Bantuan Integrasi Ternakan yang disalurkan MPOB pada 2009. Di bawah skim bantuan ini, beliau menerima 10 ekor kambing betina dan seekor kambing jantan. Bantuan yang diberikan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ini bertujuan untuk membantu pekebun kecil sawit meningkatkan pendapatan mereka. Jumlah ternakan kambing Boer beliau kini telah meningkat sebanyak 19 ekor.
En. Tew Han Kiong menimba pengalaman penanaman sawit daripada bapanya yang sangat meminati penanaman sawit. Di kebun beliau juga terdapat integrasi burung walit dengan sawit yang diusahakan sejak 2008 lagi. Selain integrasi burung walit dan kambing dengan sawit, beliau juga sedang mengusahakan integrasi pisang berangan dengan sawit yang mula dilaksanakan pada 2012.

Rajah 2: En. Tew Han Kiong di kebun milik beliau.
Selain mengusahakan tanaman sawit, En. Tew Han Kiong dan keluarga juga mengambil upah mengurus kebun sawit bagi kawasan sekitar kebun mereka, seperti upah meracun, membaja, dan menuai buah tandan sawit. Dengan hasil sawit dan juga kerja sambilan yang dilakukannya inilah beliau membesarkan anak-anaknya. Walaupun En. Tew Han Kiong sangat sibuk dengan aktiviti perniagaannya, beliau masih lagi aktif menjalankan akitiviti kemasyarakatan. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau ialah Ahli Jawatankuasa Rela 2004 sehingga kini, Ahli Persatuan Peniaga Sawit, dan Ahli Kelab Golf Banang Country Club, Batu Pahat.
En. Tew Han Kiong juga menjalankan perniagaan pusat timbang yang diwarisi daripada bapanya dan mengambil buah tandan segar (BTS) di kawasan sekitar MUKIM VI, Mukim Chaah Bahru, Linau. Beliau juga berharap agar ilmu pertanian yang dimiliki dapat diwarisi oleh anak-anaknya.
En. Tew Han Kiong sangat menghargai usaha MPOB dalam membantu pekebun kecil dari segi meningkatkan ilmu pengetahuan dan juga kemahiran mereka tentang sawit selain bantuan yang disalurkan kerajaan melalui MPOB seperti RMK-9, Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua (PRE-2) dan Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK).
Beliau berharap Pusat TUNAS dapat mempergiatkan lagi usaha membantu pekebun kecil sawit meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Jalinan yang baik antara pekebun kecil sawit dan juga Pegawai TUNAS Kawasan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan dan meningkatkan produktiviti sawit dengan melaksanakan pengurusan sawit yang baik dan sempurna.
Sumbangan: Hasmiza Desa (PTZ Selatan 2)
Dari: Warta Sawit, Bil. 53(1) Jan-Apr 2013, Muka surat 19-20.
