MPOB F1

Baja Sawit Terbaik

  • Laman Utama
  • Pengenalan
  • Proses Pemadatan
  • MPOB F1
  • MPOB F1 Xtra K
  • Hubung Kami
  • Berita
  • [English]

Teknik Sanitasi Untuk Mengawal Ganoderma

Pelaksanaan Teknik Sanitasi Untuk Mengawal Ganoderma Sebelum Menamam Semula Sawit

Pengenalan

Penyakit reput pangkal batang (RPB) yang disebabkan oleh kulat Ganoderma didapati meningkat di kawasan tanam semula sawit.  Keadaan ini berpunca daripada sumber jangkitan penyakit RPB yang terdapat pada tunggul dan akar sawit generasi sebelumnya.  Untuk mengawal penyakit ini, penyediaan kawasan penanaman perlu dilakukan dengan teknik yang betul.  

Sehubungan dengan itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memperkenalkan teknik sanitasi tunggul dan akar sawit bagi mengawal jangkitan penyakit RPB di kawasan penanaman semula sawit.

Kesan Sanitasi Tunggul Sawit ke Atas Jangkitan Ganoderma di Kawasan Tanam Semula

Amalan sanitasi dengan menorek tanah dan tunggul pokok tua seluas 1.5 m panjang X 1.5 m lebar X 1.5 m dalam, sebelum menanam semula sawit telah mengurangkan kejadian penyakit RPB ke atas pokok sawit baru.  

Kejadian penyakit RPB adalah kurang daripada 1% di kawasan yang mengamalkan sanitasi berbanding lebih 13% di kawasan yang tidak mengamalkan sanitasi, selepas 10 tahun pokok sawit ditanam.

Berdasarkan penemuan ini, langkah-langkah berikut disyorkan sebelum penanaman semula sawit, terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi untuk diserang Ganoderma:

Langkah 1: Menumbangkan pokok tua 

Rajah 1

 

Langkah 2: Memusnahkan pokok tua dengan meracik batang, tunggul dan gumpalan askar kepada cebisan kecil kemudian menyerakkan secara rata sekata sepanjang barisan tanaman pokok tua dan dibiarkan mereput 

Rajah 2

 

Langkah 3: Mengorek tanah dan tunggul dengan menggali lubang seluas (1.5 m lebar X 1.5 m panjang X 1.5 m dalam) dan ditimbus semula dengan tanah di sekililingya 

Rajah 3

 

Langkah 4: Membajak kawasan di antara barisan pokok tua atau di sepanjang barisan penanaman baru dan diikuti dengan pembajakan putar 

Rajah 4

 

Langkah 5: Menaman pokok baru di sepanjang kawasan bajakan dan jauh daripada barisan pokok sawit tua 

Rajah 5

Kesimpulan 

Tunggul dan akar berpenyakit merupakan sumber jangkitan pokok sawit yang akan ditanam.  Teknik sanitasi yang dijalankan ialah dengan mengorek keluar tanah dan tunggul serta akar pokok sawit tua seluas 1.5 m lebar X 1.5 m panjang X 1.5 m dalam.  

Ini diikuti dengan membajak kawasan di antara pokok tua atau di sepanjang barisan penanaman baru, kemudian dengan pembajakan putar dan menanam pokok baru jauh daripada barisan pokok tua, untuk mengurangkan kejadian penyakit RPB selepas menanam semula sawit.  

Melalui kaedah ini, kejadian penyakit RPB pada sawit tanam semula dapat dikurangkan dengan ketara.

 

Sumbangan: Ismail bin Samingin

Dari: Peladang Sawit, Bil. 28/2004, muka surat 4 – 5.

Filed Under: Berita, Maklumat

Peladang Jaya: “Hidup Ini Satu Perniagaan”

Haji Misman peladang jaya

Usaha yang bersungguh-sungguh pasti membawa kejayaan

 

Hidup ini satu perniagaan.  Itulah falsafah hidup peladang jaya kita pada kali ini. Beliau yang dimaksudkan ialah Haji Misman Haji Abd Rahman yang berasal dari Batu 3, Kg Serinkin, Kuala Rompin, Pahang.  Beliau telah berkhidmat dengan FELDA selama 16 tahun degan jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Ladang Gred 11.

Pada tahun 1977, Tuan Haji Misman ditugaskan ke FELDA Selandang Satu, Kuala Rompin, Pahang.  Setelah tiga tahun menetap di situ, beliau telah membeli sebidang tanah pertanian seluas 1.2 ha yang ditanam dengan koko dan kelapa dengan harga RM9000.

Pada awal 1993, satu wabak penyakit telah menyerang tanaman koko sehingga mengakibatkan pengeluaran hasil terjejas teruk manakala pendapatan kelapa juga tidak memuaskan. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk menggantikan pokok koko dan kelapa dengan tanaman sawit.

Segala perbelanjaan untuk membersihkan kawasan ditanggungnya sendiri. Peringkat penyediaan tanah dan penanaman adalah tahap yang amat mencabar kerana memerlukan masa, pengobarnan dan pelaburan yang besar.  Jadual pelaksanaan perlu dijalankan dengan teliti.

“Sebarang kesilapan atau kelalaian dari segi penyediaan tanah, pemilihan dan penanaman anak sawit boleh menjejaskan hasil pada masa akan datang”, kata Haji Misman.

Tanah di kebun yang diusahakannya adalah jenis liat sungai yang subur dengan bentuk muka bumi yang rata.  Beliau telah menggunakan bahan tanaman DxP yang dibeli dari Stesen Penyelidikan MPOB Kluang, Johor.

Tuan Haji Misman menggunakan sistem tanaman segi tiga sama dengan jarak tanaman 8.8 m x 8.8 m x 8.8 m dengan kepadatan 148 pokok / ha.  Barisan tanaman dibuat dari utara ke selatan bagi memastikan setiap pokok yang ditanam mendapat pendedahan cahaya yang mencukupi.  Jalan pertanian juga telah dibina untuk memudahkan pengangkutan hasil sawit dari kebun ke jalan utama.

Pada peringkat awal, semua kerja penyelenggaraan ladang telah dilakukannya sendiri.  Pada tahun 2000, dengan keluasan yang semakin bertambah, beliau telah mengupah dua pekerja tetap di samping pekerja kontrak untuk memastikan kerja di ladang diuruskan dengan baik.  Kini, Tuan Haji Misman telah mengusahakan 26 ha kebun sawit termasuk kebun pajakan.

Haji Misman di kebun

Susunan pelepah yang baik dapat meningkatkan bahan organik dan nutrien dalam tanah

Bagi program pembajaan, beliau telah menggunakan baja MPOB F1.  Baja ini di tabur tiga kali setahun dengan kadarnya bergantung pada umur pokok sawit.  Beliau juga menggunakan tandan sawit kosong sebagai bahan sungkupan di kebun sawitnya.

Untuk kawalan rumpai, beliau telah menggunakan racun jenis sentuh dan jenis serap.  Biasanya kerja merumpai akan dilakukan dua sehingga tiga kali setahun bergantung pada keadaan ladang.  Rumpai lembut seperti paku pakis akan dibiarkan tumbuh untuk menambah kelembapan tanah manakala racun Matikus digunakan bagi mengawal serangan tikus dikebunnya.

Kerja pemangkasan pelepah akan dilakukan serentak semasa kerja penuaian dijalankan.  Pelepah yang tua dan tidak berfungsi dipotong rapat dan dua pelepah akhir dan pelepah yang menyokong buah dikekalkan.  Semua pelepah yang telah dipangkas disusun pada lorong pelepah dan dibiarkan reput.

Penuaian buah dilakukan dua kali sebulan iaitu 14 hari sepusingan.  Beliau memastikan hanya buah sawit yang cukup sahaja akan dituai dengan berpandukan warna buah masak iaitu jingga kemerahan dan terdapat sekurang-kurangnya satu biji relai pada pangkal pokok.  Setiap buruh akan dibayar upah mengikut jumlah tan sawit yang dituai tetapi sekiranya ada denda dari kilang seperti tuai buah muda atau tangkai panjang denda ini akan dikenakan semula kepada buruh tersebut.

Semua buah tandan segar yang dituai akan segera dihantar ke kilang Endau Oil Mill Sdn Bhd, Kuala Rompin yang jaraknya 20 km dari kebunnya.  Pengangkutan buah tandan segar ke kilang sawit adalah dengan menggunakan lori yang disewa dengan kadar sewa RM20/tan.

Berdasarkan rekod, hasil kebun sawit yang diusahakannya telah mencapai 31.72 tan/ha/tahun. Kejayaan ini telah menyemarakkan lagi usaha beliau untuk bergiat aktif dalam aktiviti penanaman sawit.  Beliau juga sedia berkongsi pengalaman mengusahakan kebun sawit ini kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Haji Misman dalam pejabat

Segala rekod hasil dan perbelanjaan sawit akan dikemas kini dan disimpan dengan baik

Selain itu, Tuan Haji Misman juga bergiat aktif dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan di kampungnya.

Sesungguhnya perjuangan beliau dalam bidang pertanian telah membuahkan kejayaan.  Beliau memberi nasihat bahawa dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan perlulah ada ketekunan dan kesungguhan, barulah kejayaan boleh ditempa.  Kejayaan di dunia juga tidak bermakna tanpa disertai amalan untuk akhirat. Jadi sama-samalah kita mengimbanginya.

Sumbangan: Khairul Anuar bin Kamis

Dari: Peladang Sawit, Bil. 33/2006, muka surat 18 – 20.

Filed Under: Berita, Cerita Kejayaan

Baja Fosfat Yang Sangat Reaktif Adalah Lebih Baik

Baja Fosfat Yang Sangat Reaktif

 

BAJA FOSFAT YANG SANGAT REAKTIF LEBIH BAIK UNTUK PERTUMBUHAN DAN PENGHASILAN SAWIT.

 

Sebuah pusat penyelidikan pertanian terkemuka didalam negara telah menjalankan percubaan diladang sawit diatas tanah siri Bungor dengan menggunakan tiga jenis Fosfat (P) dari punca yang berlainan iaitu Jordanian Rock Phosphate yang sederhana reaktif (medium reactive), Fosfat yang sangat reaktif (highly reactive) dari Amerika Selatan dan Triple Super Phosphate (TSP) serta satu plot kawalan tanpa Fosfat.

 

Hasil kajian yang dibentangkan oleh Ng et al. pada tahun 2010 telah menunjukkan bahawa pokok sawit dari plot yang dibaja dengan fosfat yang sangat reaktif (highly reactive) dari Amerika Selatan memberikan hasil 9% atau bersamaan dengan 1.7 tan/ha/tahun lebih tinggi dari pokok sawit dari plot yang dibaja dengan Jordanian Rock Phosphate, dalam jangka masa 3 tahun.

 

Malahan pertambahan hasil yang lebih tinggi sebanyak 11% atau bersamaan 2.6 tan/ha/tahun ditunjukkan oleh pokok-pokok diplot yang dibaja dengan fosfat dari Amerika Selatan berbanding dengan plot yang ditabur dengan Jordanian Rock Phosphate, pada tahun ketiga penuaian atau tahun ke 5 ditanam.

 

Jadual 1: Hasil BTB (Buah Tandan Baru) Bagi Pokok Berumur 5 Tahun (49 ke 60 bulan) Dengan Sumber Fosfat Yang Berbeza:

Sumber Fosfat
(Kereaktifan)
BTB (tan/ha/tahun)
Bulan 49 hingga ke 60
(Tahun ke 5)
BTB (tan/ha/tahun)
Purata
Bulan 25 hingga ke 60
Tiada22.2 A18.1 A
MRP23.3 AB19.2 A
HRP25.9 B20.9 A
TSP24.9 AB20.1 A

*    Ng.  et al. (2010), p. 11

 

MRP    –    Jordan Rock Phosphate

HRP    –    South America Rock Phosphate

TSP     –    Triple Superphosphate

 

Keputusan diatas menandakan bahawa kita perlu melihat kepada baja fosfat yang sangat reaktif (highly reactive) dari Amerika Selatan sebagai alternatif kepada batuan fosfat yang biasa dan rendah reaktif (low reactive).  

Baja fosfat yang sangat reaktif boleh juga menggantikan baja superphosphates yang lebih mahal kerana ia lebih baik dari segi agronomi dan ekonomi.

 

 

Reference:

Patrick Ng, H. C. , Goh, K. J. , Gan, H. H. , Yacob, S. and Zaharah, A. R. (2010) The Use of Phosphate Rocks For Growing Mucuna Bracteata in Oil Palm Legume Systems To Enhance Sustainability.

Filed Under: Berita, Maklumat

Tanda-Tanda Kekurangan Nutrien Pada Pokok Sawit

Kenalilah kepentingan dan tanda-tanda kekurangan nutrien pada pokok sawit.

Nitrogen (N)  

Unsur N merupakan unsur penting untuk pertumbuhan pokok iaitu dalam pembentukan protein dan klorofil bagi meningkatkan kadar fotosintesis.  

Kekurangan unsur N akan menyebabkan daun bersaiz kecil, berwarna hijau muda kekuningan dan kelihatan pudar (Rajah 1).  Apabila kekurangan semakin serius, keseluruhan daun menjadi kuning dan tumbesaran pokok terbantut.  

Rajah 1. Kurang nitrogen: daun hijau muda kekuningan dan pertumbuhan pokok terbantut

 

Fosfat (P)  

Unsur P berfungsi sebagai unsur asas terutama untuk pertumbuhan akar semasa peringkat awal pertumbuhan.  Ia merupakan komponen struktur asid nuklid dan fosfolipid yang terlibat di dalam pergerakan tenaga dalam proses fotosintesis yang membolehkan pengambilan karbon dioksida dan menukarnya menjadi karbohidrat.  

Kekurangan unsur fosfat yang berterusan akan menyebabkan pertumbuhan pokok menirus ke atas, pelepah menjadi pendek dan pengeluaran hasil menurun.  Dalam masa yang sama, kekurangan unsur fosfat juga menyebabkan pengambilan unsur N kurang berkesan.  

Tanda kekurangan P lebih ketara pada tumbuhan lain yang berada di sekitarnya seperti lalang dan kekacang penutup bumi di mana lai daun lalang berwarna ungu manakala kekacang penutup bumi mempunyai bentuk daun yang kecil berbanding saiz biasa dengan pertumbuhannya jarang-jarang.  

Kekurangan unsur P banyak berlaku di mana tanah atas telah terhakis seperti di puncak bukit yang terdedah.  

 

Kalium (K)  

Fungsi K adalah untuk kesuburan dan pengeluaran bunga / buah.  Pokok sawit memerlukan nutrien K yang tinggi berbanding dengan nutrien lain.  Kekurangan K dapat dilihat tandanya dengan lai daun berbintik jingga dan tanda jaluran putih (Rajah 2).

Penggunaan baja K (kalium klorida) yang berlebihan mempengaruhi pengambilan boron yang akan memberi kesan negatif terhadap kadar perahan minyak.  Pengambilan nutrien K yang berlebihan oleh pokok juga akan menyebabkan pengurangan pengambilan Mg di  dalam daun.  Ini mewujudkan ketidakseimbangan nisbah nutrien K kepada Mg.  

Rajah 2. Kurang kalium: bintik jingga pada lai daun

 

Magnesium (Mg)

Magnesium (Mg) merupakan nutrien sekunder yang seiring pentingnya dengan nutrien utama.  Nutrien Mg penting sebagai asas pembentukan klorofil untuk kesuburan pokok kerana berkait rapat dengan proses fotosintesis.  Kekurangan unsur Mg dapat dilihat pada lai daun di pelepah bawah berwarna jingga kekuningan terutama yang terdedah kepada cahaya matahari (Rajah 3a).

Rajah 3a. Kurang magnesium: kekuningan pada permukaan lai daun terbuka

 

Unsur Surih

Selain dari nutrien utama, nutrien sekunder dan nutrien surih juga diperlukan oleh pokok sawit dalam jumlah yang sedikit tetapi diperlukan untuk tumbesaran dan pengeluaran hasil.  Nutrien sekunder dan surih tersebut ialah sulfur (S), boron (B), zink (Zn) dan kuprum (Cu).  Di kebanyakan jenis tanah, kandungan nutrien ini terutamanya S mencukupi untuk pemakanan pokok sawit.

Rajah 3b. Kurang boron: tepi lai daun bercantum dan bercangkuk

Nutrien (B) pula merupakan nutrien tambahan yang penting untuk pokok sawit.  Kekurangan B akan memberi kesan kepada struktur daun dan lelipan (pinnae), terutama di tanah yang kurang subur akibat hakisan (Rajah 3b dan 3c).   Tanda pada pokok yang berkurangan B adalah pembentukan lai daun berkedut-kedut dan membentuk seperti cangkuk (hooked-leaf).  Sumber nutrien B yang biasa digunakan ialah borat.  

Rajah 3c. Kurang boron: lai daun berkedut

Unsur surih Zn dan Cu (Rajah 4 dan 5) pula merupakan nutrien tambahan yang diperlukan oleh sawit di kawasan gambut.  Sumber nutrien Zn yang biasa diguna pakai ialah zink sulfat dan sumber nutrien Cu pula ialah kuprum sulfat.  Kekurangan Cu boleh menyebabkan keadaan dikenali sebagai mid crown chlorosis yang akan menyebabkan peat yellows dan akhirnya menyebabkan pelepah bawah menjadi kering.

Rajah 4. Kurang kuprum: kekuningan pada hujung lai daun dan seterusnya mati

Rajah 5. Kurang zink: bintik dan jalur putih pada lai daun

 

 

Sumbangan: Esnan Ab Ghani dan Suboh Ismail.  

Dari: Peladang Sawit. Bil. 32/2006, Muka surat  8-12.

 

Filed Under: Berita, Maklumat

Penternak Jaya Sabah Mengamalkan Integrasi Sawit

penternak jaya sabah

Kejayaan Hari Ini Hasil Usaha Gigih Masa Lalu  

Hj A Damit Mohd atau lebih sinonim dengan panggilan Hj Husin merupakan anak jati Kampung Darat, Menumbok, Sabah.  Beliau berusia 48 tahun dan hasil perkongsian hidup bersama Hjh Latipah Mat Jaki, pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata.  

Beliau memulakan alam persekolahan di SK Menumbok dan seterusnya ke sekolah menengah di SMK Menumbok sehingga peringkat Sijil Rendah Pelajaran.  Setelah tamat tingkatan 3, beliau tidak berhasrat untuk meneruskan pelajaran kerana lebih berminat menjalankan perusahaan bot penambang dari Menumbok ke Pulau Labuan.  Selang beberapa tahun menceburi bidang tersebut, beliau merantau ke Brunei Darussalam untuk menimba pengalaman baru.  

Sekembalinya dari perantauan, beliau akhirnya menceburkan di dalam bidang pertanian khususnya penanaman sawit.  

Penglibatan Hj Husin dalam bidang pertanian bermula pada 1997 selepas beliau mengusahakan tanaman sawit seluas 5.67 ha di Kg Asam Jawa, Menumbok.  Sumber anak benih diperoleh daripada Jabatan Pertanian Ulu Dusun, Sandakan, Sabah.  

Beliau menanam sawit dengan jarak tanaman yang disyorkan iaitu 9.1 m X 9.1 m X 9.1 m atau dengan kepadatan 136 pk/ha.  Kerja pengurusan ladang seperti membaja, menuai hasil BTS dan merumput dilakukan oleh tiga orang pekerja luar yang diupah secara harian.  

Sepanjang menjalankan projek tanaman sawit, beliau banyak mendapatkan khidmat nasihat daripada Pusat TUNAS.  Selain itu, beliau kerap menimba pengalaman daripada rakan lain yang telah berjaya.  Hj Husin tidak jemu mendapatkan khidmat nasihat daripada Pegawai TUNAS kawasan Beaufort, Sabah tentang kaedah dalam menguruskan ladang dan merekodkan aktiviti ladang yang terbaik.  

Baja yang digunakan adalah baja campuran dan baja MPOB F1, yang ditabur secara serakan terutama di kawasan susunan pelepah dengan kadar 9 kg/pokok/tahun.  Pembajaan juga dilakukan tiga kali setahun.  Sebelum ini, kekerapan pembajaan dilakukan tidak menentu iaitu sekali setahun dan ada kalanya pembajaan langsung tidak dilakukan.

Haji A Damit di kebun sawit

Hj A Damit Mohd di kebun sawit beliau

 

Pusingan menuai yang diamalkan ialah antara 10-14 hari setiap pusingan dan bagi memastikan kualiti BTS, penuaian hanya dilakukan ke atas BTS yang cukup masak sahaja iaitu berdasarkan sebiji biji relai di atas tanah.  BTS yang dituai dihantar ke kilang sawit dalam masa 24 jam selepas menuai.  Penghantaran BTS dilakukan dengan menggunakan lori sendiri terus ke kilang berdekatan.

Hasil BTS kebun Hj Husin pada 2009 adalah sebanyak 28.22 t/ha/tahun.  Purata hasil jualan yang diperoleh adalah sekitar RM25,000 sebulan.  Keluasan kebun sawit beliau kini telah bertambah kepada 22 ha iaitu seluas 5.67 ha berumur 13 tahun manakala 16.17 ha berumur 5 tahun.  Kedua-dua kawasan ini telah mengeluarkan hasil.  

Aktiviti pemangkasan pelepah pula dilakukan semasa kerja menuai buah sawit.  Pelepah yang dipangkas, disusun di lorong pelepah bagi memastikan kerja penuaian dan menyelenggaraan kebun dapat dilakukan dengan lancar.  Hj Husin juga sentiasa memastikan kebunnya diurus dengan baik.  Kerja merumput dilakukan dua kali setahun memandangkan pokok sawit mencapai umur 13 tahun dan daun sawit telah menutupi seluruh kawasan.  

Kawalan rumpai secara biologi turut dilaksanakan dengan mengusahakan ternakan lembu sebanyak 13 ekor dan kambing sebanyak 170 ekor.  Ternakan kambing dijalankan secara feedlot dan juga dilepaskan di ladang.  Usaha gigih beliau mengamalkan integrasi sawit dengan kambing telah diiktiraf oleh Jabatan Haiwan Sabah yang menobatkan beliau sebagai Penternak Jaya Sabah 2006.  

Selain mengusahakan kebun sawit, Hj Husin turut mengusahakan pengankutan laut ke Pulau Labuan di mana beliau mempunyai sembilan buah bot laju untuk mengangkut penumpang dari Menumbok ke Pulau Labuan.  

Hj Husin amat berterima kasih dan menghargai usaha MPOB mewujudkan Pejabat Pusat TUNAS di beberapa daerah dan kepada pegawai Tunas Kawasan yang banyak membantu dan mendidik pekebun kecil sawit yang kurang berpengetahuan dalam bidang pengurusan sawit.  Menurut beliau, program dan aktiviti TUNAS perlu diteruskan pada masa akan datang agar dapat melahirkan lebih ramai pekebun kecil sawit yang berjaya.  

 

Sumbangan: Mohd Hairi Jati – PPTZ dan Zainih Bukhari – PTK

Dari: Warta Sawit, 47/2011, mukasurat 21-22.

Filed Under: Berita, Cerita Kejayaan

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • Next Page »

HUBUNG KAMI

Union Harvest Sdn. Bhd.
Tel : +603-7957 2122     Fax : +603-7957 2630

Baca Lagi

Copyright © 2026 · created by gen1one.com ·