Kenalilah kepentingan dan tanda-tanda kekurangan nutrien pada pokok sawit.
Nitrogen (N)
Unsur N merupakan unsur penting untuk pertumbuhan pokok iaitu dalam pembentukan protein dan klorofil bagi meningkatkan kadar fotosintesis.
Kekurangan unsur N akan menyebabkan daun bersaiz kecil, berwarna hijau muda kekuningan dan kelihatan pudar (Rajah 1). Apabila kekurangan semakin serius, keseluruhan daun menjadi kuning dan tumbesaran pokok terbantut.

Rajah 1. Kurang nitrogen: daun hijau muda kekuningan dan pertumbuhan pokok terbantut
Fosfat (P)
Unsur P berfungsi sebagai unsur asas terutama untuk pertumbuhan akar semasa peringkat awal pertumbuhan. Ia merupakan komponen struktur asid nuklid dan fosfolipid yang terlibat di dalam pergerakan tenaga dalam proses fotosintesis yang membolehkan pengambilan karbon dioksida dan menukarnya menjadi karbohidrat.
Kekurangan unsur fosfat yang berterusan akan menyebabkan pertumbuhan pokok menirus ke atas, pelepah menjadi pendek dan pengeluaran hasil menurun. Dalam masa yang sama, kekurangan unsur fosfat juga menyebabkan pengambilan unsur N kurang berkesan.
Tanda kekurangan P lebih ketara pada tumbuhan lain yang berada di sekitarnya seperti lalang dan kekacang penutup bumi di mana lai daun lalang berwarna ungu manakala kekacang penutup bumi mempunyai bentuk daun yang kecil berbanding saiz biasa dengan pertumbuhannya jarang-jarang.
Kekurangan unsur P banyak berlaku di mana tanah atas telah terhakis seperti di puncak bukit yang terdedah.
Kalium (K)
Fungsi K adalah untuk kesuburan dan pengeluaran bunga / buah. Pokok sawit memerlukan nutrien K yang tinggi berbanding dengan nutrien lain. Kekurangan K dapat dilihat tandanya dengan lai daun berbintik jingga dan tanda jaluran putih (Rajah 2).
Penggunaan baja K (kalium klorida) yang berlebihan mempengaruhi pengambilan boron yang akan memberi kesan negatif terhadap kadar perahan minyak. Pengambilan nutrien K yang berlebihan oleh pokok juga akan menyebabkan pengurangan pengambilan Mg di dalam daun. Ini mewujudkan ketidakseimbangan nisbah nutrien K kepada Mg.

Rajah 2. Kurang kalium: bintik jingga pada lai daun
Magnesium (Mg)
Magnesium (Mg) merupakan nutrien sekunder yang seiring pentingnya dengan nutrien utama. Nutrien Mg penting sebagai asas pembentukan klorofil untuk kesuburan pokok kerana berkait rapat dengan proses fotosintesis. Kekurangan unsur Mg dapat dilihat pada lai daun di pelepah bawah berwarna jingga kekuningan terutama yang terdedah kepada cahaya matahari (Rajah 3a).

Rajah 3a. Kurang magnesium: kekuningan pada permukaan lai daun terbuka
Unsur Surih
Selain dari nutrien utama, nutrien sekunder dan nutrien surih juga diperlukan oleh pokok sawit dalam jumlah yang sedikit tetapi diperlukan untuk tumbesaran dan pengeluaran hasil. Nutrien sekunder dan surih tersebut ialah sulfur (S), boron (B), zink (Zn) dan kuprum (Cu). Di kebanyakan jenis tanah, kandungan nutrien ini terutamanya S mencukupi untuk pemakanan pokok sawit.

Rajah 3b. Kurang boron: tepi lai daun bercantum dan bercangkuk
Nutrien (B) pula merupakan nutrien tambahan yang penting untuk pokok sawit. Kekurangan B akan memberi kesan kepada struktur daun dan lelipan (pinnae), terutama di tanah yang kurang subur akibat hakisan (Rajah 3b dan 3c). Tanda pada pokok yang berkurangan B adalah pembentukan lai daun berkedut-kedut dan membentuk seperti cangkuk (hooked-leaf). Sumber nutrien B yang biasa digunakan ialah borat.

Rajah 3c. Kurang boron: lai daun berkedut
Unsur surih Zn dan Cu (Rajah 4 dan 5) pula merupakan nutrien tambahan yang diperlukan oleh sawit di kawasan gambut. Sumber nutrien Zn yang biasa diguna pakai ialah zink sulfat dan sumber nutrien Cu pula ialah kuprum sulfat. Kekurangan Cu boleh menyebabkan keadaan dikenali sebagai mid crown chlorosis yang akan menyebabkan peat yellows dan akhirnya menyebabkan pelepah bawah menjadi kering.

Rajah 4. Kurang kuprum: kekuningan pada hujung lai daun dan seterusnya mati

Rajah 5. Kurang zink: bintik dan jalur putih pada lai daun
Sumbangan: Esnan Ab Ghani dan Suboh Ismail.
Dari: Peladang Sawit. Bil. 32/2006, Muka surat 8-12.






