| Umur pokok sawit | Jenis Baja | Kadar Baja (kg/pokok/tahun) | ||
| (tahun) | Tanah pedalaman | Tanah lanar pantai | Tanah gambut | |
| Semasa | Batuan fosfat | 0.3 | 0.3 | 0.2 |
| menanam | Kuprum sulfat | – | – | 0.0 |
| Zink sulfat | – | – | 0.0 | |
| Kapur (GML) | – | – | 2.5 | |
| 1 | MPOB F1 | 3.3 | 2.5 | 2.0 |
| Urea | – | 0.3 | 0.3 | |
| Batuan fosfat | – | 0.3 | 0.3 | |
| Kuprum sulfat | – | – | 0.4 | |
| Zink sulfat | – | – | 0.4 | |
| 2 | MPOB F1 | 7.0 | 4.0 | 3.0 |
| Urea | – | 0.6 | – | |
| Batuan fosfat | – | 0.6 | 0.2 | |
| Abu tandan | – | – | 3.6 | |
| Kuprum sulfat | – | – | 0.2 | |
| Zink sulfat | – | – | 0.2 | |
| 3 | MPOB F1 | 7.5 | 4.5 | 6.5 |
| Urea | – | 1.0 | – | |
| Batuan fosfat | – | 0.6 | 1.0 | |
| Abu tandan | – | – | 5.6 | |
| 4 | MPOB F1 | 8.0 | 5.0 | 6.5 |
| Urea | – | 1.0 | – | |
| Batuan fosfat | – | 0.6 | 1.0 | |
| Abu tandan | – | – | 6.0 | |
| 5 | MPOB F1 | 8.5 | 5.5 | 6.5 |
| Urea | – | 1.0 | – | |
| Batuan fosfat | – | 0.6 | 1.0 | |
| Abu tandan | – | – | 6.0 | |
| Tahun 6 ke atas | ||||
| Hasil 20 – 25 tan / hektar / tahun | ||||
| MPOB F1 | 9.5 | 6.0 | 6.5 | |
| Urea | – | 0.8 | – | |
| Batuan fosfat | – | 0.7 | 1.0 | |
| Abu tandan | – | – | 6.0 | |
| Hasil lebih 25 tan / hektar / tahun | ||||
| MPOB F1 | 11.0 | 7.0 | 7.0 | |
| Urea | – | 0.8 | – | |
| Batuan fosfat | – | 0.7 | 1.0 | |
| Abu tandan | – | – | 6.0 | |
| Hasil lebih 30 tan / hektar / tahun | ||||
| MPOB F1 | 12.5 | 8.0 | 7.0 | |
| Urea | – | 1.0 | – | |
| Batuan fosfat | – | 0.7 | 1.0 | |
| Abu tandan | – | 6.0 | ||
| Nota: Sekiranya tidak ada abu tandan, gantikan dengan baja MOP pada kadar setengah kadar abu tandan | ||||
Pokok Sawit – Tanaman Emas Malaysia

Tanaman “Emas” Malaysia
Pengeluaran hasil sawit yang baik bergantung pada beberapa factor penting seperti kesesuaian tanah dan iklim, penyediaan kawasan tanaman (tanah) yang sempurna, jenis dan kualiti anak benih yang digunakan, pengurusan agronomi dan kawalan penyakit/perosak. Dalam pengurusan agronomi sawit, pembajaan merupakan aspek penting kerana pokok sawit memerlukan kadar pembajaan yang tinggi berbanding dengan tanaman lain.
Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis baja yang dijual di pasaran seperti baja tunggal, baja sebatian dan baja campuran. Baja tunggal mengandungi satu unsur utama sahaja, manakala baja campuran dan sebatian mengandungi lebih daripada satu unsur utama. Baja campuran dibuat dengan mencampurkan beberapa jenis baja tunggal secara fizikal. Baja sebatian pula dibuat dengan mencampurkan beberapa unsur melalui proses basah atau proses kering menggunakan tekanan tinggi.
Kebaikan baja sebatian
Pokok sawit memerlukan beberapa unsur utama seperti nitrogen (N), fosforus (P), kalium (K) dan magnesium (Mg) serta unsur surih boron (B) dengan kadar yang berbeza mengikut jenis tanah, umur pokok dan tahap pengeluaran. Kadar baja yang diperlukan boleh dianggarkan dengan membuat analisis tanah dan daun.
Baja tunggal senang untuk memenuhi keperluan nutrien setiap pokok dengan tepat tetapi memerlukan logistik dan tenaga buruh yang banyak untuk menabur setiap jenis baja. Penggunaan baja campuran atau sebatian dapat mengurangkan logistik dan menjimatkan tenaga buruh kerana kekerapan membaja dapat dikurangkan. Namun demikian, untuk membekalkan baja yang seimbang mengikut keperluan setiap pokok, baja tunggal dan baja sebatian mempunyai kelebihan berbanding baja campuran kerana baja campuran akan mengalami segregasi atau pengasingan unsur kerana setiap jenis baja yang dicampurkan berbeza dari segi saiz, bentuk dan ketumpatan.
Secara umum, harga per unit nutrien baja tunggal adalah termurah diikuti dengan harga baja campuran dan sebatian. Dengan mengambil kira kos logistik, kos buruh dan matlamat membekalkan baja yang seimbang kepada pokok, penggunaan setiap kategori baja ini memberi keberkesanan kos pembajaan yang berlainan kepada setiap sektor. Dalam hal ini, baja sebatian sesuai untuk penggunaan sektor pekebun kecil, manakala penggunaan baja tunggal atau campuran adalah lebih ekonomi untuk sektor estet dengan bantuan mesin menabur baja. Penggunaan baja sebatian lebih baik untuk pokok pramatang kerana kadar keperluan baja pada peringkat ini masih belum tinggi.
Baja Sawit MPOB F1
Baja Sawit MPOB F1 adalah baja sebatian yang mengandungi nutrien yang seimbang dengan kebaikan ciri-ciri baja sebatian. Baja sawit yang seimbang penting untuk membantu pekebun sawit menggunakan baja yang paling sesuai bagi mencapai peningkatan hasil.
Baja Sawit MPOB F1 dibuat melalui proses kering di bawah tekanan tinggi. Bahan mentah yang digunakan bermutu tinggi. Semua bahan mentah ini dikisar halus, digaul sama rata sebelum dipadatkan dan dipecahkan dalam bentuk butir tidak sama (irregular shape). Baja padat ini akan sentiasa keras dan tidak akan berasingan (segregated) sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.
Formulasi baja serta bahan mentah yang digunakan untuk membuat Baja Sawit MPOB F1 adalah seperti Jadual 1.
| Jadual 1 | ||
| Unsur | % | Bahan mentah |
| Nitrogen (N) | 10.0 | Ammonium sulfat |
| Diammonium fosfat | ||
| Fosforus (P2O5) | 5.4 | Batuan fosfat |
| Diammonium fosfat | ||
| Kalium (K2O) | 16.2 | Muriate of Potash |
| Magnesium (MgO) | 2.7 | Kieserit |
| Boron (B2O3) | 0.5 | Borax |
Baja Sawit MPOB F1 menggunakan ammonium sulfat (AS) dan diammonium fosfat (DAP) sebagai sumber nitrogen dan fosfat. Nitrogen daripada ammonium sulfat boleh disimpan lebih lama dalam tanah berbanding dengan sumber nitrogen yang lain seperti ammonium nitrat atau urea. Fosfat larut air daripada diammonium fosfat adalah lebih tinggi berbanding batuan fosfat. Walau bagaimanapun, batuan fosfat akan menghasilkan fosfat larut asid sitrik lebih tinggi sehingga 75% apabila melalui proses tekanan tinggi. Sepertimana baja sebatian lain, sumber kalium, magnesium dan boron adalah daripada muriate of potash, kieserit dan borax. Yang lebih penting ialah keputusan percubaan baja MPOB F1 menggunakan bahan tersebut.

Kadar penggunaan MPOB F1
Kadar penggunaan Baja Sawit MPOB F1 di tanah pedalaman, tanah lanar pantai dan gambut adalah seperti Jadual 2.
Kekerapan membaja
Secara umum, kekerapan membaja adalah tiga kali setahun semasa pokok berumur antara satu hingga empat tahun dan dua kali setahun selepas pokok berumur lebih daripada empat tahun. Oleh itu, kadar untuk setiap kali membaja adalah bersamaan dengan jumlah tahunan dibahagikan dengan kekerapan untuk tahun berkenaan.
Penempatan baja
Penempatan baja yang berkesan bergantung pada umur pokok. Secara umum, baja perlu ditabur di kawasan di mana terdapat akar pemakanan yang banyak dan aktif. Bagi pokok sawit berumur dua tahun ke bawah, akar pemakanan berada di dalam lingkungan 2 m daripada pangkal pokok. Manakala pokok yang berumur tiga hingga lima tahun, akar pemakanan berada dalam lingkungan 4 m dari pangkal pokok. Oleh itu, bagi pokok sawit yang berumur antara satu hingga dua tahun, baja perlu ditabur dalam lingkungan 1.5 – 2.5 m dari pangkal pokok. Manakala, bagi pokok berumur antara tiga hingga lima tahun, penempatan baja adalah dalam lingkungan antara 1.5 hingga 4.0 m dari pangkal pokok. Bagi pokok matang, penumbuhan akar pemakanan telah berada di seluruh kawasan terutama di dalam kawasan peletakan pelepah. lni adalah bagi topografi tanah rata hingga ke beralun. Bagi kawasan bukit, baja hendaklah sentiasa ditabur di keliling pokok sahaja.
Masa dan persediaan sebelum membaja
Masa yang sesuai untuk membaja adalah pada musim sederhana lembap. Masa terlalu kering ataupun basah kurang sesuai. Kawasan yang hendak ditabur baja hendaklah terlebih dahulu dibersihkan daripada rumpai.
Kesimpulan
Kerajaan telah meletakkan sasaran supaya pengeluaran minyak sawit mentah negara pada tahun 2003 dapat ditingkatkan kepada 4 tan bagi 1 hektar. Bagi mencapai sasaran ini, MPOB telah mengenal pasti iaitu pembajaan yang berkesan sebagai satu faktor penting. Sekiranya pembajaan dijalankan dengan sempurna dan menggunakan baja yang berkualiti, seimbang dan dengan pengurusan ladang yang baik, maka hasil sawit boleh dipertingkatkan di kawasan yang sebelum ini tidak mendapat pembajaan yang optimum.
Sumbangan: Idris bin Omar dan Ahmad Tarmizi bin Muhammad.
Dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).