Pendahuluan
Panduan pembajaan sawit ini bertujuan untuk membantu pekebun kecil memilih jenis baja yang sesuai, kadar baja yang optimum, perletakan baja yang berkesan, masa dan kekerapan yang tepat.
Dengan maklumat ini, pekebun kecil diharap akan dapat menggunakan baja dengan optimum dan lebih berkesan lagi dengan peningkatan hasil yang maksimum. Ini memandangkan terdapat pelbagai jenis baja di pasaran yang boleh mengelirukan dan kurang berkesan.
Baja Kimia
Baja kimia lazimnya mengandungi nutrien pokok yang tinggi dan boleh didapati di dalam tiga bentuk iaitu baja tunggal, campuran dan sebatian.
Baja tunggal mengandungi satu unsur utama sahaja, manakala baja campuran dan sebatian mengandungi lebih daripada satu unsur utama.
Baja campuran dibuat dengan mencampurkan beberapa jenis tunggal secara fizikal.
Baja sebatian pula dibuat dengan menggabungkan beberapa unsur melalui proses basah secara kimia (contoh MPOB F2) atau proses kering menggunakan tekanan tinggi (contoh MPOB F1).
Pemilihan sesuatu jenis baja campuran atau sebatian bergantung pada sifat tanah dan sifat sesuatu baja berkenaan. Contoh, tanah pedalaman mengandungi liat dan bahan organik yang sederhana, maka penggunaan nitrogen berasaskan ammonium sulfat atau klorida lebih sesuai kerana kurang meruap tetapi asidik.
Sebaliknya, untuk tanah gambut yang mengandungi bahan organik yang tinggi, nitrogen berasaskan urea lebih sesuai kerana mudah meruap tetapi kurang asidik. Oleh itu, apabila membeli baja adalah penting untuk bertanya sumber asas nitrogen yang digunakan.
Apabila merancang untuk menggunakan baja kimia adalah penting untuk meneliti ciri-ciri fizikalnya terlebih dahulu. Ciri-ciri fizikal baja kimia yang baik ialah keadaan kering dan mudah ditabur.
Sebaliknya, seperti baja campuran, ia mudah menjadi lembap, basah dan seterusnya keras apabila disimpan terlalu lama. Ini kerana baja fosfat dan kieserite apabila dicampur dengan baja ammonium sulfat atau urea akan bertindak balas. Campuran tersebut menjadi lembap / berair dan kemudian keras.
Oleh itu, baja campuran hendaklah digunakan dengan segera. Beg baja campuran juga perlu digoncang terlebih dahulu sebelum dibuka untuk mengurangkan pengasingan unsur nutrien yang terjadi disebabkan oleh saiz, bentuk dan ketumpatan partikel baja yang berbeza.
Secara umum, harga baja tunggal per unit nutrien adalah lebih murah berbanding baja campuran dan sebatian tetapi memerlukan kos buruh yang lebih untuk menabur setiap jenis baja.
Bagi mencapai matlamat membekalkan baja seimbang dengan kos yang berpatutan adalah lebih praktikal pekebun kecil menggunakan baja campuran (dengan syarat baja tidak lembap dan keras) atau baja sebatian untuk pembajaan tahunan dan menggunakan baja tunggal dari semasa ke semasa bagi mengatasi kekurangan nutrien yang khususnya sekiranya berlaku.
Sumbangan: Idris bin Omar; Ahmad Tarmizi bin Muhammad dan Zin Zawawi bin Zakaria.
Dari: Peladang Sawit, Bil. 32/2006, Muka surat 4.