Pengguna MPOB F1 menerima Anugerah Pekebun Kecil Sawit Terbaik

Oil Palm Photo

Abdul Wahab Pekebun Kecil Sawit terbaik semenanjung

February 5th, 2011                         

oleh Azran Jaffar ,    www.bharian.com.my  
 

  

Warga emas dari Pahang terima bimbingan MPOB mengenai kaedah penyelenggaraan untuk pertingkat hasil keluaran buah sawit.

DI WAKTU beberapa rakan tergoda dengan prospek pokok sentang dicanang pihak yang membuat promosi di daerahnya, beliau turut berkira-kira menyertainya, malah mula membersihkan tanahnya seluas kira-kira lapan ekar (kira-kira 3.2 hektar) yang sebelum ini sudah menjadi hutan dara untuk diisi dengan pokok dari spesis balak itu.

Namun sebelum membulatkan fikirannya Abdul Wahab Ismail, 70, bertanya pada dirinya sudah adakah orang yang menanam sentang menjadi jutawan, sementelah ada rakan yang sudah mula hendak menanam.

Pertemuan dengan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bentong, Pahang, mengubah congakan Abdul Wahab dan beliau dinasihatkan menanam kelapa sawit atas alasan pokok sentang tidak dapat memberi hasil seperti diharapkan.

“Waktu itu tahun 2000. Oleh kerana tanah sudah dibersihkan, saya terus menempah kira-kira 400 anak kelapa sawit yang ketika itu berharga RM6.30 sepokok dari Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PSAFA),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pagar Sasak, Kecau, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.

Usaha Abdul Wahab mula memberikan pulangan selepas dua tahun menanam.
Bagaimanapun hasil diperoleh tidaklah  sebegitu memberangsangkan kerana beberapa masalah dalam mengurus dan menyelenggara kebun yang dihadapinya.

“Satu daripada masalah adalah berkaitan baja. Saya masih kurang pengetahuan dalam perkara ini. Saya guna baja sebatian NPK. Bila ada orang cakap pula ada baja jenis lain yang baik, saya pun ikut sehinggakan saya pernah mendapatkan baja dari Dungun, Terengganu kerana mendengar pandangan diberikan juga kerana kesukaran mendapatkan baja.

“Sehinggalah pada tahun 2005 yang mana ketika itu saya yang juga Ahli Jemaah Pengarah PPK Kuala Lipis bertemu dengan Pegawai TUNAS Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Engku Norsupian Ardi Engku Nordin, yang memberikan saya penerangan amat berguna terhadap usaha pertanian yang dijalankan,” katanya.

Katanya, Engku Norsupian Ardi banyak memberikan bimbingan kepadanya dalam soal penjagaan pokok dan pengurusan kebun terutama berkaitan baja dan mengesyorkan menggunakan baja yang dikeluarkan MPOB.

“Masa beliau datang melawat kebun, daun pokok sawit saya banyak yang kuning kesan penyelenggaraan yang tidak begitu teratur dan selepas nasihat diberikan dan proses pemulihan dilakukan perubahan mula kelihatan selain hasil yang dikeluarkan menampakkan peningkatan,” katanya.

Pertemuan dengan Engku Norsupian Ardi membuatkan Abdul Wahab mula menggunakan baja sebatian MPOB F1. Beliau melakukan pembajaan melalui dua kaedah iaitu serakah dan bulatan dengan kekerapan tiga kali setahun pada kadar 2.5 kilogram sepokok untuk satu pusingan.

Pada 2005 jumlah hasil yang dikeluarkan adalah sebanyak 24 tan/perhektar/setahun dan meningkat kepada 25 tan (2006), 27 tan (2007), 33 tan (2008) dan 37 tan (2009).

Atas usaha yang dijalankan dan peningkatan hasil yang dicatatkan Abdul Wahab menerima Anugerah Pekebun Kecil Sawit Terbaik (Semenanjung) pada Anugerah Industri Sawit 2009/2010, baru-baru ini.

Dengan dibantu dua anak lelakinya dan tiga pekerja, Abdul Wahab mampu tersenyum puas dengan usaha yang dilaksanakan yang memberikannya pulangan lumayan.

Bagaimanapun seorang daripada anaknya akhirnya mengambil keputusan untuk bekerja makan gaji.

“Beliau beritahu saya nak merasa kerja makan gaji, saya benarkan. Tapi saya kasihankan juga abangnya kerana banyak perkara yang hendak diuruskan, dengan kebun kelapa sawit, kebun getah dan urusan lain,” kata bapa kepada enam anak itu hasil perkongsian hidup dengan Siti Esah Abdullah.

Apa pun, hasil yang diperoleh tidak membuatkan Abdul Wahab terus berdiam dan menumpukan kepada kebun seluas lapan ekar itu semata-mata. Sebaliknya, ia meningkatkan ‘keghairahannya’ untuk terus menambah perolehan keluarga.

Justeru pada tahun 2008 Abdul Wahab mengambil keputusan mengusahakan sendiri kebun kelapa sawit seluas 15 ekar miliknya yang sebelum ini diusahakan sebuah agensi pemulihan tanah.

“Sebelum ini hasil yang saya peroleh sangatlah kecil dan apabila saya mengusahakan sendiri dan selepas ditolak kos apa yang saya dapat jauh lebih baik,” kata Abdul Wahab yang terpaksa mengeluarkan belanja lima angka untuk mendapatkan semula hak mengusahakan tanahnya itu.

Ditanya mengapa beliau memberikan tanah yang agak luas untuk diusahakan pihak lain, Abdul Wahab berkata: “Masa tu tahun 80-an… yalah orang kampung, tak berapa nak faham, nak usahakan pun tak ada kudrat dan tak berapa nak pandai.

“Tapi masa saya usahakan kebun saya yang lapan ekar tu saya dah 60 tahun, syukur saya dapat melakukannya… bagaimanapun ini juga adalah hasil dorongan dan bimbingan yang diberikan Engku Norsupian,” katanya sambil memandang kepada Engku Norsupian Ardi yang turut hadir pada pertemuan itu.

Hasil komitmen yang ditunjukkan terhadap bimbingan diberikan MPOB, kira-kira dua tahun lalu, Abdul Wahab diberikan 11 baka kambing Boer terdiri daripada seekor jantan dan sepuluh betina untuk dibiakkan melalui kaedah integrasi sawit dan kambing.

Ia adalah tambahan kepada ternakan lembu yang diusahakan, hasil hadiah diperoleh kerana dipilih sebagai Peladang Jaya Lelaki.  Kini selain terbabit dalam tanaman kelapa sawit, Abdul Wahab turut mengusahakan tanaman getah seluas 22 ekar, dusun buah-buahan seluas enam ekar dan kedai barangan runcit.

Sementara itu, Engku Norsupian Ardi berkata, pada awalnya beliau mengambil masa untuk meyakinkan Abdul Wahab untuk mengikuti kaedah penanaman yang disyorkan MPOB, namun selepas beberapa kali sesi pertemuan Abdul Wahab mula yakin dan dapat mengikutinya.

“Kehadiran kami adalah untuk membantu kerana tanpa kaedah betul pekebun sukar mendapat hasil yang tinggi dan ini merugikan mereka selain memberi risiko kepada tanaman,” katanya.

Kini Abdul Wahab mampu menarik nafas lega melihat hasil kesungguhan dilakukan dalam mengusahakan tanaman sawit dan berharap dapat menurunkan ilmu yang dimiliki kepada anak-anaknya.

“Apa pun, ini semua hasil bimbingan pegawai TUNAS,” katanya.