MPOB F1

Baja Sawit Terbaik

  • Laman Utama
  • Pengenalan
  • Proses Pemadatan
  • MPOB F1
  • MPOB F1 Xtra K
  • Hubung Kami
  • Berita
  • [English]

Bahan Tanaman Berkualiti

Dari segi taksonomi, sawit adalah dari keluarga Palmae, suku Cocoseae dan genus Elaeis.  Terdapat dua spesies sawit iaitu Elaeis guineensis yang berasal dari Afrika dan Elaeis olefera yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.  Spesies sawit yang selalu digunakan sebagai tanaman komersial ialah Elaies guineensis kerana ia memberikan hasil buah tandan segar (BTS) dan nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi berbanding Elaeis olefera (Rajah 1 – 4).

Pokok Sawit Elaeis Guineesis

Rajah 1: Pokok sawit Elaeis guineensis

Buah tandan segar Elaeis Guineensis

Rajah 2: Buah tandan segar Elaeis guineensis

Bahan tanaman berkualiti merupakan faktor penting menentukan hasil sawit.  Menanam anak benih berkualiti serta mempraktikkan pengurusan dan amalan agronomi yang baik akan menghasilkan pokok sawit yang dapat mengeluarkan hasil BTS yang tinggi.  Sebalik-nya, penggunaan bahan tanaman yang berkualiti rendah akan menghasilkan pokok sawit yang memberi hasil BTS yang rendah.

Pokok sawit Elaeis Oleifera

Rajah 3: Pokok sawit Elaeis oleifera

Pemilihan bahan tanaman berkualiti adalah kritikal dalam industri sawit yang mempunyai jangka hayat ekonomi dalalm linkungan 25 tahun.  Penanam akan mengalami kerugian kerana hasil rendah sepanjang hayat tanaman sekiranya mengambil ringan faktor kualiti dalam penghasilan dan pemilihan bahan tanaman sawit.

Buah tandan segar Elaeis Oleifera

Rajah 4: Buah tandan segar Elaeis oleifera

Genetik Pengeluaran Biji Benih DxP

Tanaman sawit adalah contoh terbaik di mana kemajuan pemilihan tercapai melalui satu gen.  Gen (Sh) tersebut mengawal kehadiran tempurung pada buah.  Homozigo dominan (Sh+Sh+) menghasilkan dura (D) bertempurung tebal.  Homozigot resesif (Sh-Sh-) pula menghasilkan pisifera (P) tanpa tempurung.  Heterozigot (Sh+Sh-) menghasilkan tenera bertempurung nipis.  Bahan tanaman komersial yang kerap digunakan ialah jenis tenera atau lebih dikenali sebagai DxP kerana memberikan hasil BTS dan nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi.  Tenera terhasil dari kacukan antara dura dan pisifera (Rajah 5).

Purata Komposisi Buah Dura dan Tenera

Secara amnya, dura dan tenera tiada perbezaan pada nisbah buah ke tandan, isirung ke buah dan minyak ke mesokarpa basah (Jadual 1).  Walau bagaimanapun, tenera lebih unggul kerana mempunyai nisbah minyak ke tandan yang lebih tinggi.  Ini kerana pada tenera, mesokarpa ke buah adalah lebih tinggi sementara tempurung ke buah pula lebih rendah.

Kacukan DxP

Rajah 5: Kacukan DxP

Jadual 1. Purata Komposisi Buah Dura Dan Tenera

Ciri Dura (%) Tenera (%)
Buah ke tandan 60 60
Mesokarpa ke buah 60 80
Tempurung ke buah 30 10
Isirung ke buah 10 10
Minyak ke mesokarpa basah 50 50
Minyak ke tandan 18 24

Nota: Berdasarkan peratus berat basah

Pengeluar Biji Benih Berlesen di Malaysia

Sehingga Januari 2013, terdapat sebanyak 21 pengeluar biji benih sawit yang berlesen di Malaysia (Jadual 2).  Bagi memelihara kualiti bahan tanaman, agensi pengeluar biji benih komersial adalah tertakluk kepada Piawai Malaysia (MS157) iaitu spesifikasi untuk biji benih bagi tujuan tanaman komersial.  Sehingga kini, spesifikasi tersebut telah dikemaskini sebanyak tiga kali.

  • MS157: 1975
  • MS157: 1998 (Kemaskini pertama)
  • MS157: 1997 (Kemaskini kedua)
  • MS157: 2005 (Kemaskini ketiga)

Jadual 2. Pengeluar Biji Benih Sawit Berlesen Di Malaysia

Nama Pengeluar Tempat
Applied Agricultural Resources Sdn Bhd Tawau, Sabah
Borneo Samudera Sdn Bhd Tawau, Sabah
EPA Management Sdn Bhd Kota Tinggi, Johor
FELCRA Plantation Services Sdn Bhd Kluang, Johor
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Johor Bahru, Johor
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Jerantut, Pahang
FELDA Agricultural Services Sdn Bhd Lahad Datu, Sabah
IJM Plantations Bhd Labuk/Sugut, Sabah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia Kluang, Johor
Nalfin Planting Material Sdn Bhd Hilir Perak, Perak
Pamol Plantations Sdn Bhd Kluang, Johor
Pamol Estates (Sabah) Sdn Bhd Labuk/Sugut, Sabah
Pertubuhan Peladang Negeri Johor Kluang, Johor
RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd Dungun, Terengganu
Sarawak Plantation Agriculture Sdn Bhd Miri, Sarawak
Sasaran Ehsan Utama Sdn Bhd Segamat, Johor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Kluang, Johor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Kuala Langat, Selangor
Sime Darby Seeds and Agricultural Services Sdn Bhd Tawau, Sabah
United Plantations Berhad Hilir Perak, Perak

Sumber Bahan Tanaman Yang Berkualiti

Pengeluaran anak benih sawit berkualiti ditentukan oleh dua faktor utama.  Faktor pertama adalah penggunaan biji benih terpilih DxP yang diperoleh daripada pengeluar yang berlesen dengan MPOB.  Lazimnya potensi hasil adalah tinggi.  Piawai Malaysia (MS157) yang dikeluarkan oleh Jabatan Piawai Malaysia digunakan dalam menentukan pemilihan induk untuk penghasilan biji benih DxP.  Ini bertujuan bagi memastikan agensi pengeluar biji benih di Malaysia menghasilkan bahan tanaman yang berkualiti.  Piawai terkini dikeluarkan pada 2005 dan dikenali sebagai MS157: 2005.

Pengusaha ladang dan juga pekebun kecil perlu mendapatkan anak benih dari pengusaha tapak semaian yang menggunakan sumber bahan tanaman dari pengeluar biji benih yang sah.  Mereka tidak digalakkan membeli dari sumber yang diragui walaupun harga yang ditawarkan mungkin lebih murah daripada harga pasaran.  Anak benih yang tumbuh di bawah pokok juga tidak boleh digunakan sebagai bahan tanaman.

Jenis penanaman anak benih yang tumbuh di bawah pokok

Rajah 6: Jenis tanaman yang terhasil dari penanaman anak benih yang tumbuh di bawah pokok.

Sekiranya ia dilakukan, terdapat kebarangkalian bahawa bahan tanaman yang terhasil terdiri daripada campuran dura, tenera dan pisifera.  Justeru, akan memberi hasil BTS dan minyak ke tandan yang rendah secara keseluruhannya.  Perkara ini terjadi kerana biji benih di bawah pokok tersebut mungkin terhasil dari kacukan antara satu pokok tenera dengan pokok tenera yang lain di ladang tersebut (Rajah 6).  Pengusaha ladang yang berkenaan akan mengalami kerugian sepanjang jangka hayat ekomoni tanaman sawit iaitu lebih kurang selama 25 tahun.

 

Sumbangan: Dr. Mohd Din Amiruddin

Dari: Warta Sawit, Bil 54(2) / Mei-Ogos 2013, muka surat 4-5, 27.

Filed Under: Berita, Maklumat

HUBUNG KAMI

Union Harvest Sdn. Bhd.
Tel : +603-7957 2122     Fax : +603-7957 2630

Baca Lagi

Copyright © 2025 · created by gen1one.com ·