Pada peringkat awal menanam sawit biasanya terdapat pelbagai jenis perosak yang menyerang tanaman ini. Serangan ini boleh berlaku di kawasan yang baru dibangunkan dan juga di kawasan tanam semula. Kerosakan tanaman ini adalah disebabkan oleh dua jenis perosak iaitu serangga dan haiwan mamalia.
Serangga perosak utama termasuklah kumbang kaboi, kumbang, badak, anai-anai dan belalang, manakala perosak haiwan mamalia pula adalah tikus, landak, babi hutan, monyet dan gajah.
Pengawalan perosak ini adalah penting dan sekiranya tidak dikawal dari peringkat awal ia akan menyebabkan kerugian yang besar kerana melambatkan pertumbuhan dan mengurangkan hasil. Serangan yang teruk akan menyebabkan kematian kepada tanaman yang baru ditanam.
Perosak Serangga
Kumbang kaboi
Kumbang kaboi adalah serangga perosak utama anak sawit di tapak semaian dan anak sawit yang baru ditanam di ladang. Terdapat dua spesis kumbang kaboi yang menyebabkan kerosakan iaitu kumbang Apogonia dan Adoretus. Kumbang Apogonia (Apogonia sp.) berwarna hitam manakala kumbang Adoretus (Adoretus compresus) berwarna perang dan berbulu halus di badannya.
Kumbang dewasa berukuran di antara 10 mm hingga 12 mm panjang dan hanya aktif pada waktu malam sahaja. Pada waktu siang, kumbang dewasa ini bersembunyi di dalam tanah. Telur perosak ini boleh ditemui di dalam tanah berhampiran pangkal pokok. Larva kumbang hidup dengan memakan bahan yang mereput serta akar-akar rumpai.
Kesan serangan ini dapat dilihat di lubang-lubang yang terdapat pada daun sawit. Kumbang Apogonia memakan daun dengan lebih luas bermula dari tepi daun manakala kumbang Adoretus memakan bahagian tengah daun dan menyebabkan daun berlubang-lubang dalam bentuk yang lebih kecil.
Kawalan yang berkesan untuk mengawal perosak ini adalah dengan menyembur racun trichlorfon atau cypermethrin pada daun sawit.
Kumbang badak
Kumbang badak (Oryctes rhinoceros) adalah perosak utama tanaman sawit pada peringkat awal menanam. Serangan kumbang ini berlaku dengan teruk sekiranya kawasan tersebut mempunyai tempat pembiakannya seperti tunggul mereput dan bahan organik yang mereput seperti habuk papan, tahi lembu dan tandan buah kosong.
Kaedah penanaman semula tanpa pembakaran boleh juga menimbulkan masalah kerana batang sawit yang ditumbang, diracik dan dibiarkan mereput menarik perhatian perosak ini untuk dijadikan tempat pembiakannya. Penanaman semula secara tanam bawahan (penanaman semula di bawah pokok sawit tua yang kemudiannya diracun) juga menggalakkan pembiakan serangga perosak ini.
Kumbang badak dapat dikenali dengan kehadiran tanduknya seperti badak. Peredaran hidup kumbang badak adalah di antara lima ke tujuh bulan. Tempoh hidup kumbang dewasa betina adalah sembilan bulan dan yang jantannya sehingga enam bulan. Kumbang badak jantan dapat dibezakan dengan kumbang badak betina melalui kehadiran tanduknya yang lebih panjang. Peringkat larva kumbang ini tidak membayakan pokok sawit. Larva ini hidup dalam bahan organik yang mereput.
Kumbang dewasa akan menyerang pucuk sawit memnyebabkan lubang yang berbentuk baji. Bahagian pucuk yang telah diserang ini akan mereput dan akhirnya patah. Kesan daripada serangan ini menyebabkan daun muda yang keluar akan berbentuk seperti kipas pada bahagian hujungya. Serangan yang teruk akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut manakala serangan yang sangat teruk akan menyebabkan kematian.
Untuk mengelakkan serangan kumbang badak ini, semua tempat-tempat pembiakannya hendaklah dimusnahkan. Penanaman kekacang penutup bumi dapat membantu menutup tempat-tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan seperti tunggul kayu dan batang sawit yang tidak boleh dibakar.
Kawalan kimia serangga perosak ini adalah dengan menyembur racun cypermethrin atau pun lambda cyhalothrin pada bahagian pangkal pucuk sawit. Butiran racun carbofuran didapati berkesan untuk mengawal serangan kubang ini sekiranya diletakkan pada bahagian yang sama.
Kaedah lain yang boleh digunakan untuk mengawal kumbang badak ini adalah dengan mengguna perangkap feromon. Feromon adalah sejenis formulasi yang mengeluarkan bau yang menarik kumbang dewasa untuk berkumpul. Feromon ini boleh dibeli secara komersil dan diletakkan di tengah perangkap yang mempunyai plat zink yang digantung pada ketinggian 2.5 m – 3m daripada paras tanah.
Kumbang dewasa akan tertarik pada bau ini pada waktu malam dan teperangkap di dalam baldi, dikumpul dan dibunuh. Perangkap ini dipasang antara satu hingga dua tahun atau pun sehingga bilangan tangkapan kurang daripada lima kumbang dewasa/minggu/perangkap. Kadar penggunaan perangkap ini adalah satu perangkap bagi setiap 2 hek atau lebih dan feromon ini boleh tahan selama dua bulan di ladang.
Anai-anai
Anai-anai adalah serangga perosak yang terdapat di kawasan hutan yang baru dibuka untuk penanaman sawit. Masalah ini menjadi lebih rumit di kawasan tanah gambut kerana tunggul-tunggul kayu mengalami proses pereputan yang perlahan. Pembakaran tidak boleh dilakukan kerana ia akan menyebabkan kebakaran kawasan yang teruk dan malah menyahahi peraturan Jabatan Alam Sekitar. Anai-anai akan menyerang pokok sawit apabila tunggul-tunggul kayu menjadi kering kerana paras air di kawasan tanah gambut menurun. Serangan dilakukan oleh anai-anai pekerja serta askar dan ia boleh berlaku pada pokok muda dan matang.
Serangan anai-anai pada pokok muda dapat dikenalpasti dengan terdapatnya longgokan tanah pada bahagian pangkal pucuk pokok sawit yang baru ditanam. Pada peringkat awal, tanah ini kelihatan basah dan akan menjadi kering dari hari ke sehari sehingga keseluruhan pucuk dan batang pokok akan diselaputi dengan lapisan tanah.
Kesan daripada serangan ini menyebabkan pucuk daun mereput manakala daun-daun muda bertukar menjadi kuning sedangkan daun-daun tua masih hijau. Serangan biasanya berlaku selepas 12 bulan anak sawit ditanam di ladang atau kira-kira bunga pertama mula muncul. Pada peringkat ini serangan yang teruk akan menyebabkan kematian kepada pokok dalam tempoh dua minggu.
Seranagan anai-anai pada pokok matang adalah melalui dalam tanah dan memasuki batang sawit melalui bahagian pangkal batang berhampiran tanah. Pada bahagian pangkal batang, perosak ini masuk melalui terowong-terowong yang dibina secara menegak. Kawasan pembiakan perosak ini amat sukar ditemui kerana ia terletak di dalam tanah di kayu mati, lembab dan hampir reput. Pada bahagian batang pokok, laluan perosak masuk ini akan diselaputi lapisan tanah yang masih basah. Kesan daripada serangan ini akan menyebabkan pelepah bahagian bawah menjadi kuning manakala tandan tidak menjadi buah.
Pengawalan serangga perosak ini adalah dengan menggunakan racun seperti chlorpyrifos dengan cara menyiram larutan tersebut pada pangkal batang pokok tersebut. Sebanyak 1 hingga 3 liter larutan racun pada kadar 0.2% bahan aktif diperlukan pada setiap pokok. Kawalan ini berkesan pada peringkat awal serangan sahaja. Pemusnahan sarang pembiakan perosak ini adalah perlu untuk menghentikan serangan kerana ratu anai-anai bertelur dengan kadar yang agak tinggi sehari dalam masa setahun dan ini akan menyebabkan kemusnahan yang teruk di kawasan tanaman tersebut. Sarang pembiakan perosak ini perlulah dimusnahkan dengan memecahkannya dan menyiram dengan larutan racun chlorpyrifos pada kadar 2 g bahan aktif dalam 1 liter air.
Belalang
Belalang menjadi perosak utama dalam keadaan cuaca yang sesuai di mana populasi perosak ini meningkat. Serangan perosak ini bermula dengan kerosakan pada tanaman penutup bumi dan kemudiannya memakan daun sawit yang masih muda.
Belalang kunyit (Valanga nigricornis) didapati merosakkan tanaman sawit. Ia bertelur dalam kelompok di antara 70-100 biji yang ditanam dalam tanah dengan kedalaman 5 mm hingga 8 mm. Telur ini akan menetas dalam temph dua bulan dan melalui enam peringkat nimpa sebelum menjadi dewasa dalam tempoh 80 hari.
Kawalan yang berkesan untuk perosak ini adalah dengan menanam kekacang penutup bumi untuk mengurangkan kawasan pembiakannya. Perosak ini akan bertelur di kawasan yang terbuka dan berpasir. Sekiranya serangan telah berlaku racun trichlorfon dan chlorpyrifos hendaklah disembur pada daun. Semasa penyediaan larutan ini, gula boleh juga ditambah di dalam larutan tersebut untuk menarik minat belalang tersebut memakan daun dan seterusnya memakan racun-racun yang telah disembur.
Sumbangan: Zulkifli Masijan
Dari: Berita Sawit, Bil 15/2000 muka surat 7 – 9.