MPOB F1

Baja Sawit Terbaik

  • Laman Utama
  • Pengenalan
  • Proses Pemadatan
  • MPOB F1
  • MPOB F1 Xtra K
  • Hubung Kami
  • Berita
  • [English]

Peladang Jaya: “Hidup Ini Satu Perniagaan”

Haji Misman peladang jaya

Usaha yang bersungguh-sungguh pasti membawa kejayaan

 

Hidup ini satu perniagaan.  Itulah falsafah hidup peladang jaya kita pada kali ini. Beliau yang dimaksudkan ialah Haji Misman Haji Abd Rahman yang berasal dari Batu 3, Kg Serinkin, Kuala Rompin, Pahang.  Beliau telah berkhidmat dengan FELDA selama 16 tahun degan jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Ladang Gred 11.

Pada tahun 1977, Tuan Haji Misman ditugaskan ke FELDA Selandang Satu, Kuala Rompin, Pahang.  Setelah tiga tahun menetap di situ, beliau telah membeli sebidang tanah pertanian seluas 1.2 ha yang ditanam dengan koko dan kelapa dengan harga RM9000.

Pada awal 1993, satu wabak penyakit telah menyerang tanaman koko sehingga mengakibatkan pengeluaran hasil terjejas teruk manakala pendapatan kelapa juga tidak memuaskan. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk menggantikan pokok koko dan kelapa dengan tanaman sawit.

Segala perbelanjaan untuk membersihkan kawasan ditanggungnya sendiri. Peringkat penyediaan tanah dan penanaman adalah tahap yang amat mencabar kerana memerlukan masa, pengobarnan dan pelaburan yang besar.  Jadual pelaksanaan perlu dijalankan dengan teliti.

“Sebarang kesilapan atau kelalaian dari segi penyediaan tanah, pemilihan dan penanaman anak sawit boleh menjejaskan hasil pada masa akan datang”, kata Haji Misman.

Tanah di kebun yang diusahakannya adalah jenis liat sungai yang subur dengan bentuk muka bumi yang rata.  Beliau telah menggunakan bahan tanaman DxP yang dibeli dari Stesen Penyelidikan MPOB Kluang, Johor.

Tuan Haji Misman menggunakan sistem tanaman segi tiga sama dengan jarak tanaman 8.8 m x 8.8 m x 8.8 m dengan kepadatan 148 pokok / ha.  Barisan tanaman dibuat dari utara ke selatan bagi memastikan setiap pokok yang ditanam mendapat pendedahan cahaya yang mencukupi.  Jalan pertanian juga telah dibina untuk memudahkan pengangkutan hasil sawit dari kebun ke jalan utama.

Pada peringkat awal, semua kerja penyelenggaraan ladang telah dilakukannya sendiri.  Pada tahun 2000, dengan keluasan yang semakin bertambah, beliau telah mengupah dua pekerja tetap di samping pekerja kontrak untuk memastikan kerja di ladang diuruskan dengan baik.  Kini, Tuan Haji Misman telah mengusahakan 26 ha kebun sawit termasuk kebun pajakan.

Haji Misman di kebun

Susunan pelepah yang baik dapat meningkatkan bahan organik dan nutrien dalam tanah

Bagi program pembajaan, beliau telah menggunakan baja MPOB F1.  Baja ini di tabur tiga kali setahun dengan kadarnya bergantung pada umur pokok sawit.  Beliau juga menggunakan tandan sawit kosong sebagai bahan sungkupan di kebun sawitnya.

Untuk kawalan rumpai, beliau telah menggunakan racun jenis sentuh dan jenis serap.  Biasanya kerja merumpai akan dilakukan dua sehingga tiga kali setahun bergantung pada keadaan ladang.  Rumpai lembut seperti paku pakis akan dibiarkan tumbuh untuk menambah kelembapan tanah manakala racun Matikus digunakan bagi mengawal serangan tikus dikebunnya.

Kerja pemangkasan pelepah akan dilakukan serentak semasa kerja penuaian dijalankan.  Pelepah yang tua dan tidak berfungsi dipotong rapat dan dua pelepah akhir dan pelepah yang menyokong buah dikekalkan.  Semua pelepah yang telah dipangkas disusun pada lorong pelepah dan dibiarkan reput.

Penuaian buah dilakukan dua kali sebulan iaitu 14 hari sepusingan.  Beliau memastikan hanya buah sawit yang cukup sahaja akan dituai dengan berpandukan warna buah masak iaitu jingga kemerahan dan terdapat sekurang-kurangnya satu biji relai pada pangkal pokok.  Setiap buruh akan dibayar upah mengikut jumlah tan sawit yang dituai tetapi sekiranya ada denda dari kilang seperti tuai buah muda atau tangkai panjang denda ini akan dikenakan semula kepada buruh tersebut.

Semua buah tandan segar yang dituai akan segera dihantar ke kilang Endau Oil Mill Sdn Bhd, Kuala Rompin yang jaraknya 20 km dari kebunnya.  Pengangkutan buah tandan segar ke kilang sawit adalah dengan menggunakan lori yang disewa dengan kadar sewa RM20/tan.

Berdasarkan rekod, hasil kebun sawit yang diusahakannya telah mencapai 31.72 tan/ha/tahun. Kejayaan ini telah menyemarakkan lagi usaha beliau untuk bergiat aktif dalam aktiviti penanaman sawit.  Beliau juga sedia berkongsi pengalaman mengusahakan kebun sawit ini kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Haji Misman dalam pejabat

Segala rekod hasil dan perbelanjaan sawit akan dikemas kini dan disimpan dengan baik

Selain itu, Tuan Haji Misman juga bergiat aktif dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan di kampungnya.

Sesungguhnya perjuangan beliau dalam bidang pertanian telah membuahkan kejayaan.  Beliau memberi nasihat bahawa dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan perlulah ada ketekunan dan kesungguhan, barulah kejayaan boleh ditempa.  Kejayaan di dunia juga tidak bermakna tanpa disertai amalan untuk akhirat. Jadi sama-samalah kita mengimbanginya.

Sumbangan: Khairul Anuar bin Kamis

Dari: Peladang Sawit, Bil. 33/2006, muka surat 18 – 20.

Filed Under: Berita, Cerita Kejayaan

HUBUNG KAMI

Union Harvest Sdn. Bhd.
Tel : +603-7957 2122     Fax : +603-7957 2630

Baca Lagi

Copyright © 2026 · created by gen1one.com ·